
Barcelona, 28 September 2025 – Pasukan Malaysia, Viper Niza Racing, menamatkan musim penuh pertama mereka dalam Michelin 24H SERIES European Series 2025 dengan penuh dramatik di pusingan penutup di Circuit de Barcelona-Catalunya hujung minggu lalu, untuk mengesahkan kedudukan ke-4 keseluruhan dalam kelas GT3-Am.
Skuad serba-Malaysia yang dibarisi Douglas Khoo selaku pemandu utama merangkap Prinsipal Pasukan, Dominic Ang, Melvin Moh, Afiq Ikhwan Yazid dan Aaron Lim mengemudi jentera Mercedes-AMG GT3 EVO sepanjang perlumbaan 24 jam tersebut. Pasukan menamatkan cabaran dengan 633 pusingan, sekali gus berada di kedudukan ke-11 kelas GT3 dan ke-22 keseluruhan, selepas sempat melonjak ke tempat ke-7 pada peringkat awal perlumbaan.
Perlumbaan bermula dengan Ang yang meletakkan pasukan dalam kelompok hadapan di kedudukan ke-10 sebelum menyerahkan tugasan kepada Khoo pada jam pertama. Khoo pantas memulihkan kedudukan hingga ke tempat ke-7, namun insiden bersama sebuah Porsche telah menyebabkan kerosakan jentera. Pada mulanya pasukan menyangka kerosakan terhad kepada bahagian upright, namun setelah diganti dan perlumbaan disambung semula, didapati sistem stereng turut terjejas. Keadaan ini memaksa Moh yang mengambil giliran ketiga untuk memberhentikan kereta di trek bagi mengelakkan kerosakan lebih serius.
Proses membawa pulang kereta ke pit dan menggantikan stereng telah mengambil masa hampir tiga jam, sekali gus menyebabkan pasukan kehilangan lebih 90 pusingan berbanding pendahulu. “Sasaran kami ke Barcelona adalah untuk memburu kejuaraan GT3-Am atau sekurang-kurangnya menamatkan musim di tiga teratas, namun dengan segala drama dan cabaran yang berlaku, kami tetap berbangga menamatkan musim di tempat ke-4,” jelas Khoo.
Kejuaraan GT3-Am musim ini dimenangi oleh Continental Racing by Simpson Motorsport, manakala Juta Racing dan Hofor Racing masing-masing menamatkan musim di tempat kedua dan ketiga.
Musim 2025 merupakan perjalanan penuh suka duka buat Viper Niza Racing. Pasukan terlepas pusingan pembukaan di Mugello, tetapi bangkit di pusingan kedua di 12 Hours of Spa-Francorchamps dengan menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan, keempat GT3 dan naib juara GT3-Am. Namun, di Misano, mereka gagal mengutip mata selepas mengalami masalah teknikal oil sump. Pasukan bangkit semula di 12 Hours of Paul Ricard, menamatkan perlumbaan di tempat kelapan keseluruhan, ketiga GT3-Am, di samping menerima anugerah Spirit of the Race kerana berjaya meraih hasil cemerlang meskipun terpaksa menggunakan kereta sewa selepas jentera utama rosak ketika sesi kelayakan.
Bagi Khoo, pencapaian sebenar musim ini bukan sahaja kedudukan dalam kejuaraan, tetapi juga kejayaan membawa pasukan seratus peratus Malaysia – daripada pemandu sehinggalah jurutera dan mekanik – untuk berlumba secara kompetitif di Eropah. “Kejayaan ini adalah kemenangan moral terbesar kami. Bukan sahaja berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di pentas antarabangsa, tetapi juga membuktikan bahawa anak tempatan mampu bersaing di arena perlumbaan ketahanan,” tambahnya.
Viper Niza Racing disokong oleh Motul, Endless dan Momentum Autoparts, dengan IWC sebagai Penaja Jam Rasmi serta Jen Orchard Gateway Hotel, Singapura sebagai rakan rasmi pasukan.













The post Viper Niza Racing Tamat Musim Pertama Di Tempat Ke-4 GT3-AM Siri Kejuaraan Michelin 24H appeared first on TW Media.

