Pasukan Nukleas Siber perkukuh keupayaan ATM hadapi ancaman peperangan moden

LocalTechnology
18 Sep 2026 • 2:49 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pasukan Nukleas Siber perkukuh keupayaan ATM hadapi ancaman peperangan moden

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Penubuhan Pasukan Nukleus Siber oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh keupayaan pertahanan negara dalam menghadapi ancaman peperangan moden yang kian tertumpu kepada ruang siber, elektromagnetik, maklumat dan kognitif.

Pengarah Pusat Kajian Perbandingan Teknologi, Institut Kajian Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) Kol Dr Maimunah Omar berkata perubahan landskap keselamatan global yang menyaksikan persaingan kuasa besar, konflik bersenjata, ancaman hibrid, penggunaan kecerdasan buatan (AI), serangan siber dan peperangan maklumat menuntut ATM membangunkan keupayaan baharu selaras dengan Kertas Putih Pertahanan (KPP).

“Pasukan Nukleus Siber merupakan sebahagian daripada perjalanan (membangunkan keupayaan) tersebut. Cabarannya kini ialah memastikan ia berkembang bersama manusia, teknologi, industri dan seluruh masyarakat kerana dalam era peperangan baharu, kedaulatan negara bukan hanya pada sempadan yang dapat dilihat, tetapi juga pada ruang digital tidak dapat dilihat.

“Mempertahankan Malaysia bermakna memastikan negara terus berdaulat, berfungsi dan berdaya tahan walaupun ancaman datang tanpa sempadan dan tanpa satu pun peluru dilepaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Maimunah, ancaman siber kini tidak lagi bergantung kepada peperangan konvensional kerana negara yang aman juga boleh menjadi sasaran kumpulan jenayah siber, ransomware, hacktivist atau aktor yang disokong sesebuah negara bagi tujuan pencurian data, espionaj, gangguan dan tekanan strategik.

Beliau berkata statistik global menunjukkan purata serangan siber terhadap organisasi meningkat daripada sekitar 1,168 serangan seminggu pada penghujung 2022 kepada 1,925 seminggu pada awal 2025, manakala sektor kerajaan merekodkan purata 2,678 serangan seminggu pada suku pertama tahun lepas.

Maimunah berkata perkembangan konflik di Asia Barat termasuk konflik Israel-Iran, turut membuktikan operasi siber kini dilaksanakan seiring dengan operasi ketenteraan apabila kamera Internet dipercayai digunakan bagi menyokong penilaian kerosakan serangan dan pembetulan sasaran.

“Ini menunjukkan bahawa peperangan moden tidak semestinya bermula dengan tembakan atau peluru berpandu. Ia boleh bermula dengan rangkaian, data, kamera, komunikasi atau persepsi manusia,” katanya.

Maimunah berkata peperangan moden turut berkembang kepada cognitive warfare, iaitu usaha mempengaruhi cara masyarakat berfikir, mempercayai maklumat dan membuat keputusan.

“Maklumat palsu (disinformation), manipulasi media sosial dan usaha melemahkan kepercayaan terhadap institusi boleh menjadi sebahagian daripada persaingan strategik,” katanya.

Beliau berkata KPP mengiktiraf domain siber elektromagnetik sebagai domain operasi baharu yang menyediakan keupayaan kritikal bagi ATM melaksanakan operasi dengan selamat, selain menekankan keperluan menghadapi ancaman teknologi AI, sistem autonomi dan operasi siberelektromagnetik.

Maimunah berkata pembangunan keupayaan siber negara perlu memberi tumpuan kepada peningkatan daya tahan siber, pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat, pembangunan modal insan, kerjasama industri, penggunaan risikan ancaman dan analisis berasaskan AI supaya ancaman boleh dikenal pasti sebelum menjadi krisis.

Sebelum ini ATM mengumumkan bakal menubuhkan Angkatan Siber sebagai ketumbukan keempatnya menjelang 2030 bagi mendepani ancaman landskap keselamatan moden.

Pelancaran Tim Nukleus Siber dijadual disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersempena dengan sambutan Karnival Hari ATM 2026 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, esok.

-- BERNAMA

TAG: Midas, Pasukan Nukleas Siber, ATM, media sosial, KPP

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved