
Kota Kinabalu: Pasukan lima anggota dari Unit Mencari dan Menyelamat Gunung (SAR) Taman-Taman Sabah mencipta sejarah apabila berjaya menawan Kem Asas Everest (EBC) di Nepal baru-baru ini.
Pasukan itu menamatkan ekspedisi selama 10 hari selepas berdepan suhu sejuk melampau sehingga -21°C dan meredah salji tebal pada ketinggian 5,364 meter.
Dikenali atas kepakaran mereka di Gunung Kinabalu, pasukan itu berjaya menamatkan pendakian pada jam 1.07 tengah hari waktu Nepal (11.22 pagi waktu Malaysia).
Misi itu diketuai oleh Timbalan Pengarah (Operasi, Penswastaan & Pembangunan) Taman-Taman Sabah Maipol Spait bersama ahli pasukan lain iaitu Rexie Meekenddey Madis, Silver Peter, Najeri Najib dan Suparin Kumin.
Ekspedisi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Taman-Taman Sabah untuk meningkatkan kemahiran dan ketahanan pasukan penyelamat altitud tinggi selain mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
Setiap langkah pendakian menguji ketahanan fizikal, semangat juang serta kerjasama mereka dalam salah satu persekitaran paling mencabar di dunia.
Pada asalnya, pasukan itu merancang untuk meneruskan pendakian ke Kala Pattar (5,545 meter), satu titik pandang yang lebih tinggi berhampiran Kem Asas Everest.
Namun, disebabkan cuaca semakin buruk dan faktor keselamatan, pihak berkuasa Taman Negara Sagarmatha terpaksa menutup laluan itu buat sementara waktu.
Pasukan terbabit memutuskan untuk menghentikan pendakian demi mengutamakan keselamatan berbanding cita-cita.
Bagaimanapun, kejayaan tiba di Kem Asas Everest tetap dianggap satu pencapaian besar yang membuktikan keupayaan pasukan SAR Taman-Taman Sabah beroperasi dalam keadaan ekstrem, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara pasukan penyelamat gunung paling berkemahiran di Asia Tenggara.
Ekspedisi itu turut menerima sokongan logistik daripada Mount Kinabalu Adventure & Travel Sdn Bhd dan Mount Mania Treks & Expedition, Nepal. Sepanjang berada di sana, pasukan berkenaan turut mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Pengarah Taman-Taman Negara Nepal serta Persatuan Sherpa Nepal.
Jalinan diplomatik itu bertujuan memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Nepal dalam bidang latihan penyelamatan altitud tinggi, perlindungan alam sekitar dan kerjasama keselamatan gunung.
Pertukaran ini juga membuka peluang baharu untuk kolaborasi dalam pendidikan penyelamatan gunung dan pemuliharaan antarabangsa.
Maipol berkata kejayaan itu didedikasikan kepada Malaysia, rakyat Sabah dan Taman-Taman Sabah.
Misi Kem Asas Everest ini menyusul selepas kejayaan antarabangsa pasukan itu pada September 2024 apabila mereka menawan Gunung Kilimanjaro di Tanzania – puncak tertinggi di Afrika dengan ketinggian 5,895 meter.

