
PETALING JAYA – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) dijangka berlepas ke Nepal, Sabtu ini bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir yang melanda negara berkenaan.
Kebenaran kemasukan pasukan Smart itu diberikan kerajaan Nepal selepas beberapa sesi perbincangan diadakan bersama Kementerian Luar (Wisma Putra).
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu jemputan media memaklumkan pasukan berkenaan dijangka berlepas melalui Pangkalan Udara (PU) Subang pada pagi 5 September ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan memutuskan untuk menghantar pasukan Smart ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan bencana banjir yang melanda negara itu.
Menurut beliau, pasukan Smart turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana berkenaan.
“Pasukan Smart juga akan membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal dalam menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia turut menyalurkan sumbangan sebanyak AS$1 juta (RM4.2 juta) kepada Nepal bagi membantu mangsa yang terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana.
Penghantaran pasukan Smart dan sumbangan tersebut mencerminkan komitmen Malaysia dalam membantu Nepal menghadapi bencana serta meringankan beban mangsa yang terjejas.- KOSMO! ONLINE
The post Pasukan Smart dibenar ke Nepal Sabtu ini appeared first on Kosmo Digital.






