Pasukhas dilantik syarikat AS bina projek pusat data bernilai RM63.6 juta di Johor Bahru

LocalTechnology
15 Dec 2025 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pasukhas dilantik syarikat AS bina projek pusat data bernilai RM63.6 juta di Johor Bahru
image is not available
liza15/12/2025 - 18:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Dis – Pasukhas Group Berhad melalui anak syarikatnya, Midtown Engineering Sdn. Bhd. (MESB) telah menerima Surat Pelantikan (LOA) daripada sebuah korporat teknologi multinasional terkemuka dari Amerika Syarikat bagi projek pembinaan dan menyiapkan sebuah pusat data di Johor Bahru.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pasukhas berkata, projek tersebut melibatkan kontrak dengan bayaran keseluruhan berjumlah RM63.6 juta.

 

“Projek dijadualkan bermula pada 1 Januari 2026 dan tarikh siap dijangka 30 Januari 2027.

 

“MESB ditugaskan untuk melaksanakan keseluruhan projek sementara Pasukhas Group akan menyelia dari segi strategik. 

 

“Projek ini menandakan satu pencapaian penting dalam pengembangan perniagaan strategik syarikat dan dijangka memperkukuh pendapatan serta kedudukan kewangan kumpulan selepas siap sepenuhnya,” kata Pasukhas dalam makluman tersebut.

 

Menurut Pasukhas, tiada risiko signifikan dijangka selain risiko operasi biasa dan projek ini tidak akan memberi kesan material terhadap modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham utama.

 

Projek ini dijangka menyumbang positif kepada pendapatan masa depan Pasukhas Group tanpa kesan material segera terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, dan kadar leverage kumpulan.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama, atau orang yang berkaitan mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam projek ini, dan LOA tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa pengawalseliaan.

 

Projek pusat data ini dijangka menjadi pemangkin penting bagi memperkukuh kehadiran Pasukhas dalam sektor teknologi serta menyokong pertumbuhan strategik kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard