Terengganu capai sasaran 8.5 juta pengunjung, RM6.7 bilion sumbangan ekonomi pada 2025

LocalTravel
15 Dec 2025 • 4:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Terengganu capai sasaran 8.5 juta pengunjung, RM6.7 bilion sumbangan ekonomi pada 2025
image is not available
liza15/12/2025 - 16:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 15 Dis – Terengganu berjaya mencapai sasaran 8.5 juta pengunjung pada tahun 2025 yang menyumbang RM6.7 bilion kepada ekonomi negeri.
 

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, daripada jumlah itu, seramai 7,204,889 adalah pengunjung tempatan manakala bakinya 1,370,916 pelancong asing.

 

“Sumbangan ini dikira berdasarkan perbelanjaan penginapan, tiket masuk, makan minum dan pembelian cenderamata oleh setiap pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

 

 

 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 113 acara pelancongan dan kebudayaan telah disenaraikan dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2026  sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

 

Selain 113 acara utama itu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) turut mengumumkan 100 acara pelancongan serta kebudayaan yang akan dilaksanakan sepanjang tahun melibatkan semua lapan daerah.

 

Razali berkata, jumlah acara dalam COE 2026 berkurangan berbanding 123 acara pada COE 2025, dengan fokus hanya kepada program berkualiti dan unik yang mampu menarik minat pelancong untuk terus mengunjungi Terengganu.

 

“Sebagai pembuka tirai, COE 2026 dijadualkan bermula dengan Pelita Raya Terengganu (Peliter@KSNT 2026) pada 27 Februari hingga 3 Mac 2026 di Taman Rekreasi Kompleks Sukan Negeri Terengganu. 

 

“Antara acara lain yang bakal menyerikan kalendar pelancongan negeri termasuk Pelancaran Musim Candat Sotong Terengganu (30 April – 3 Mei 2026), Terengganu Marathon 2026 “Bridge to Bridge”, Kapas–Marang Swimathon 2026 (2 Mei 2026) dan Sultan Mizan International Photography Awards (23 Mei 2026).

 

“Turut dimuatkan dalam COE 2026 adalah program berskala besar seperti Karnival True Terengganu Malaysia (9 – 12 Jun 2026), Terengganu International Bike Week (25 – 28 Jun 2026), RXZ Member 8.0 (September 2026), Karnival Pantai Terengganu (16 – 20 September 2026) dan Terengganu 4x4 Merdeka Challenge 2026 (2 – 5 September 2026),” katanya.

 

 

 

 

 

 

COE 2026  menghimpunkan semua acara itu dalam satu kalendar komprehensif bagi memastikan perancangan, penyelarasan, dan pelaksanaan program dapat dijalankan secara sistematik, selain memudahkan kerjasama dengan pemain industri di seluruh negeri.

 

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan cadangan dan idea baharu daripada pengiat sektor pelancongan bagi memperkaya lagi penganjuran acara serta meningkatkan tarikan pelancongan Terengganu menjelang tahun 2026. - DagangNews.com

Terkini featured standard