PATI bayar RM6,000 masuk Malaysia

12 Aug 2026 • 11:19 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PATI bayar RM6,000 masuk Malaysia

KAJANG: Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Op Sasar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini malam tadi mengaku membayar ribuan ringgit kepada sindiket untuk memasuki negara ini secara haram.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 10.30 malam itu, sepasang suami isteri warga Myanmar mengaku membayar RM6,000 untuk membawa mereka bersama dua anak memasuki Malaysia menggunakan laluan laut dengan bantuan tekong dari Thailand.

Wanita berusia 37 tahun itu berkata, bayaran berkenaan dibuat kepada individu terbabit untuk membawa keluarganya keluar dari Myanmar sebelum perjalanan diteruskan melalui laluan laut ke Malaysia.

“Saya bayar lebih kurang RM6,000 untuk kami sekeluarga datang ke Malaysia. Suami saya yang urus semua, bayar kepada orang Thailand yang bawa kami dari Myanmar sampai ke perairan Langkawi,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Menurutnya, perjalanan mereka tidak dilakukan serentak apabila suaminya terlebih dahulu memasuki Malaysia bersama anak lelaki berusia 14 tahun sebelum dia pula masuk bersama anak perempuan berusia tujuh tahun.

Katanya, mereka dibawa masuk ke Malaysia melalui Langkawi menggunakan bot secara haram sebelum menetap di negara ini.

“Kami sekeluarga sudah berada di Malaysia kira-kira satu tahun setengah selepas memasuki negara ini menggunakan bot.

“Sekarang kami masih berusaha mendapatkan status dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” jelasnya.

Menurutnya, dia dan suami kini bekerja di sebuah kilang perabot di sekitar Kajang dan menyewa sebuah bilik dengan kadar RM500 sebulan.

Sementara itu, seorang lagi wanita warga Myanmar berusia 24 tahun mengaku membayar RM3,000 kepada seorang lelaki warga Malaysia yang dipercayai tekong darat untuk membawanya memasuki negara ini melalui laluan tikus.

Katanya, dia mengenali individu berkenaan melalui seorang rakan sebelum menggunakan khidmat lelaki terbabit untuk memasuki Malaysia.

“Saya masuk melalui laluan tikus di Sungai Golok, Kelantan sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki kereta.

“Saya kini sudah kira-kira lima bulan berada di Malaysia dan bekerja di sebuah kilang di sekitar sini,” katanya.

Dalam operasi itu, seramai 330 individu warga asing diperiksa sebelum 248 daripada mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

The post PATI bayar RM6,000 masuk Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved