Sepasang suami isteri warga Myanmar mendakwa membayar kira-kira RM6,000 untuk membawa mereka bersama dua anak memasuki Malaysia melalui laluan laut menggunakan khidmat sindiket.
Pasangan yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) itu antara warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Op Sasar di Apartment Suteramas, di sini, bermula jam 10.30 malam Selasa.
Wanita berusia lingkungan 30-an itu mendakwa urusan perjalanan mereka dibuat dengan bantuan seorang individu dari Thailand yang bertindak sebagai tekong dan menerima bayaran berkenaan untuk membawa mereka bersama beberapa individu lain dari Myanmar ke Malaysia.
“Saya bayar lebih kurang RM6,000 untuk kami sekeluarga datang ke Malaysia.
“Suami saya yang urus semua, bayar sama orang Thailand, bawa dari Myanmar sampai ke perairan Langkawi,” katanya.

Menurutnya, mereka memasuki Malaysia secara berasingan apabila suaminya bersama anak sulung berusia 14 tahun tiba terlebih dahulu, sebelum dia dan anak perempuan berusia tujuh tahun menyusul kemudian.
Katanya, dia memasuki perairan Malaysia melalui Langkawi dengan menaiki bot.

Dalam operasi sama, seorang lagi wanita warga Myanmar berusia lingkungan 20-an mendakwa membayar RM3,000 kepada tekong darat warga Malaysia untuk memasuki negara ini melalui laluan tikus di Sungai Golok, Kelantan.
Op Sasar yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di dua blok apartment lima tingkat itu turut menyaksikan sebahagian warga asing cuba mengelak daripada dikesan pasukan operasi.

Ada yang berpura-pura tidak menyedari ketukan pintu, selain bersembunyi di dalam bilik sewaan dan cuba melarikan diri.
Difahamkan, kadar sewaan bilik di apartment berkenaan adalah antara RM250 hingga RM500.
Artikel lain: Tempoh sah 10 tahun? KP Imigresen jelaskan pemegang pasport perlu beli tiket di kaunter
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 248 warga asing terdiri daripada warga Bangladesh dan Myanmar ditahan untuk pengesahan dokumen.
“Siasatan mendapati ada antara penghuni warga asing ini sudah menetap dua tahun, setahun setengah dan ada juga antaranya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Kita akan buat semakan terlebih dulu untuk mengesahkan ia asli atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi operasi pada Selasa.

Beliau turut tidak menafikan kemungkinan terdapat warga asing yang sudah disenarai hitam memasuki semula Malaysia melalui laluan tidak sah.
“Jika dia (warga asing) masuk ikut pintu sah memang tidak lepas kerana dia akan ditahan, bagi kes sebegini mereka masuk ikut jalan tikus,” ujarnya.
Menurut Zakaria, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara termasuk di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Sumber: Sinar Harian (Muhammad Afham Ramli)





