KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO tidak akan mencalonkan semula mana-mana wakil rakyat daripada sayap itu pada pilihan raya akan datang sekiranya didapati malas bekerja atau sukar dihubungi rakyat.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan tegas itu akan diambil bagi memastikan wakil rakyat yang dipilih benar-benar membawa perjuangan parti, bukan diri sendiri.
Menurutnya, akar umbi perlu menjadi ‘mata dan telinga’ pimpinan untuk melaporkan mana-mana wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas atau gagal memberi khidmat kepada parti.
“Saya hendak ingatkan wakil rakyat pemuda (UMNO). Tiada apa yang lebih penting daripada perjuangan parti.
“Jika ada wakil rakyat kita yang malas. Jika ada wakil rakyat kita yang susah hendak angkat panggilan, balas WhatsApp, tolong beritahu. Kita akan pastikan dia tidak tercalon lagi pada masa akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Khamis.
Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau berkata, wakil rakyat daripada sayap itu juga diingatkan agar tidak bersikap sombong atau menganggap diri lebih hebat selepas memegang jawatan.
Ini kerana katanya, jawatan yang dipegang itu bukan dimenangi atas kapasiti peribadi semata-mata tetapi hasil sokongan dan bantuan anggota parti lain.
Beliau dalam masa sama turut mengingatkan 11 wakil rakyat Pemuda UMNO yang ada ketika ini untuk tidak sesekali takut bercakap mengenai perjuangan parti .
“Jika ada wakil rakyat takut hendak bercakap perjuangan parti, saya pasti akan kerjasama wakil rakyat itu habis-habisan,” katanya.




