KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menepis spekulasi bahawa beberapa pemimpin kanan UMNO akan ditahan selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang berakhir minggu ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman, berkata siasatan atau penahanan membabitkan pemimpin kanan UMNO bukan antara perkara yang sedang disiasat berdasarkan laporan diterima suruhanjaya itu.
Beliau berkata, orang ramai tidak seharusnya mudah mempercayai andaian atau spekulasi yang tersebar tanpa mendapatkan pengesahan daripada pihak bertanggungjawab.
“Kadangkala orang ramai lebih mempercayai andaian dan spekulasi.
“Jika seseorang menerima sesuatu maklumat, mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak yang bertanggungjawab. Jika ia membabitkan SPRM, maklumat itu hendaklah datang daripada pihak SPRM,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum ini, UMNO menegaskan, parti itu tidak akan menghalang tindakan SPRM sekiranya terdapat bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana pemimpin parti yang didapati terbabit dalam salah laku.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM bagi membolehkan proses pendakwaan dijalankan sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat asas kukuh untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang siasatan, termasuk yang membabitkan pemimpin kanan parti, perlu dijalankan secara adil dan telus. - Getaran, 10 September 2026






