
Paul The Octopus, Sotong ‘Peramal’ Yang Pernah Menggegarkan Dunia
Setiap kali Piala Dunia berlangsung, perhatian peminat bola sepak bukan sahaja tertumpu kepada aksi pemain bintang, jaringan menarik dan perebutan trofi, tetapi juga kisah unik yang mencuri perhatian dunia.
Masihkan anda ingat? Pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, satu nama yang tidak pernah dijangka menjadi sebutan ramai ialah Paul The Octopus, seekor sotong yang mencipta fenomena luar biasa.
Berasal dari sebuah akuarium di Jerman, Paul tiba tiba menjadi perhatian global apabila ramalannya melibatkan beberapa perlawanan penting termasuk aksi pasukan ternama dunia.
Walaupun kebolehannya meramal keputusan perlawanan dianggap sebagai satu kebetulan oleh sesetengah pihak, kisah Paul The Octopus tetap menjadi antara cerita paling ikonik dalam sejarah Piala Dunia.
Sehingga kini, namanya masih dikenang setiap kali kejohanan bola sepak terbesar dunia berlangsung, membuktikan bahawa Piala Dunia turut dipenuhi kisah luar biasa di luar padang.
Mari selami kisah menarik tentang sotong kurita ini di bawah.
Bermulanya fenomena Paul The Octopus
Siapa sangka, seekor sotong kurita pernah menjadi menjadi fenomena suatu ketika dahulu, malah namanya seringkali menjadi sebutan tiap kali Piala Dunia.
Paul The Octopus tidak pernah bercita cita untuk menjadi terkenal.
Dia tidak meminta untuk dipuja, diraikan, dibenci atau menerima ancaman. Apa yang diinginkannya hanyalah makanan kegemarannya, iaitu kupang.
Pada Jun 2010, penjaga Paul di pusat akuarium Sea Life di Oberhausen, Jerman, menjalankan satu eksperimen secara suka-suka yang akhirnya mengubah hidup sotong itu.
Paul diberikan dua bekas plastik jernih yang masing masing mengandungi kupang, dengan setiap bekas dilekatkan bendera negara berbeza.
Tugasnya mudah, hanya memilih bekas mana yang mahu dibuka dan dimakan terlebih dahulu.
Ramalan tepat yang mengejutkan dunia
Melalui kaedah itu, Paul berjaya meramalkan kemenangan Jerman ke atas Australia dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 2010.
Lebih mengejutkan, dia kemudiannya meramal keputusan kesemua tujuh perlawanan Jerman sepanjang kejohanan tersebut, selain memilih Sepanyol sebagai pemenang ketika bertemu Belanda dalam aksi final.
Dalam bahasa yang mudah, Paul berjaya meramal kesemua perlawanan negara itu dari peringkat kumpulan sebelum memilih Sepanyol sebagai juara.
Paul berdepan ancaman
Walaupun dianggap wira oleh ramai peminat bola sepak, Paul turut menjadi sasaran kebencian sesetengah pihak.
Penyokong Argentina pernah mengugut untuk memakannya, manakala peminat Jerman berang selepas Paul memilih Sepanyol untuk menewaskan Jerman pada separuh akhir Piala Dunia.
Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, turut mengkritik fenomena itu dengan mendakwa Paul hanyalah simbol propaganda Barat.
Kisah Paul juga tidak terlepas daripada kontroversi apabila timbul persoalan mengenai asal usulnya. Secara rasmi, Paul dikatakan berasal dari Weymouth, England, sebelum berpindah ke Jerman.
Namun, penjaganya, Verena Bartsch, mendakwa Paul ditemui ketika masih kecil di perairan Elba, Itali.
Secara tiba-tiba, asal usul seekor sotong menjadi perhatian dunia, sesuatu yang biasanya tidak pernah dipersoalkan kecuali apabila ia berada dalam menu makanan laut.
Baca juga:
Selamanya Legenda, Menyingkap Perjalanan Cristiano Ronaldo Bersama Portugal
11 Pemain Bola Sepak Dengan Gaji Tertinggi Di Piala Dunia 2026
5 Pemain Legenda Yang Tidak Pernah Beraksi di Kejohanan Piala Dunia FIFA
Haiwan lain ikut jejak Paul The Octopus
Kejayaan Paul The Octopus membuka ruang kepada haiwan lain untuk mencuba peranan sebagai 'peramal' dalam dunia sukan.
Selepas fenomena yang diciptanya pada Piala Dunia 2010, semakin banyak haiwan mula mendapat perhatian apabila dikaitkan dengan ramalan keputusan perlawanan bola sepak.
Pada Piala Dunia 2022 di Qatar, seekor memerang bernama Taiyo mencuri perhatian selepas dikatakan berjaya menjangka kemenangan mengejut Jepun ke atas Jerman.
Selain itu, terdapat juga Shaheen, seekor unta yang membuat ramalan dengan berjalan menuju ke arah salah satu bendera pasukan yang diletakkan di hadapannya.
Fenomena itu turut melibatkan pelbagai haiwan lain seperti kura kura, penguin, anjing laut dan kucing.
Antara kisah paling menarik ialah Achilles, seekor kucing putih yang menjadi perhatian ketika Piala Dunia 2018 di Rusia.
Keistimewaannya ialah Achilles dilahirkan pekak, dan ciri tersebut dikatakan menjadikannya tidak terpengaruh dengan bunyi sorakan penyokong ketika membuat pilihan.
Setiap kejohanan Piala Dunia seolah olah melahirkan haiwan baharu yang cuba mengisi tempat Paul The Octopus.
Walaupun tiada yang mampu menandingi populariti Paul, kehadiran 'peramal' baharu ini terus menambah warna dan keunikan kepada temasya bola sepak terbesar dunia.
Paul The Octopus, tetap segar dalam ingatan
Seperti kebanyakan legenda, kisah Paul juga berakhir lebih awal. Paul meninggal dunia pada 26 Oktober 2010, tidak lama selepas namanya melonjak ke persada dunia.
Jika mengambil kira dakwaan bahawa dia ditemui di Elba pada tahun sama, perjalanan hidup Paul seolah olah lengkap dalam satu tahun sahaja, bermula sebagai sotong biasa, menjadi terkenal, bersara daripada perhatian umum dan akhirnya meninggal dunia sebagai ikon.
Ada yang menganggap tiada apa yang istimewa tentang seekor sotong yang sekadar membuka beberapa bekas secara rawak dan kebetulan memilih dengan tepat.
Namun, mereka mungkin terlupa bahawa keupayaan seekor sotong membuka bekas pilihan dengan sendirinya juga sudah cukup mengagumkan.





