Payments Network Malaysia Sdn Bhd atau(PayNet), syarikat disebalik banyak teknologi kewangan digital yang digunakan di Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka telah memproses sebanyak 8.44 bilion transaksi nirtunai sepanjang tahun 2025.
Peningkatan ini didorong oleh penerimaan yang semakin meluas di kalangan bank, institusi bukan bank, perniagaan dan pengguna. Transaksi yang direkod merangkumi pelbagai kegunaan harian termasuk pembelian runcit, pengangkutan, pemindahan wang antara individu serta urus niaga perniagaan kecil, sekaligus menandakan pembayaran digital kini telah menjadi sebahagian daripada rutin harian rakyat.
Jumlah transaksi oleh bank meningkat sebanyak 30.69 peratus dari tahun ke tahun, manakala transaksi oleh institusi bukan bank mencatatkan pertumbuhan sebanyak 71.7 peratus dari tahun ke tahun, mencerminkan ekosistem pembayaran yang semakin pelbagai dan inklusif.

Peningkatan jumlah transaksi ini menyumbang kepada purata 6.3 juta transaksi setiap hari berbanding tahun 2024, dengan aktiviti pembayaran digital dilihat lebih ketara semasa musim perayaan dan cuti hujung tahun.
Peningkatan ini juga didorong oleh jumlah lokasi yang menyokong sistem pembayaran nirtunai yang lebih tinggi. Pada 2025, sebanyak 681,250 tempat penerimaan baharu DuitNow QR diperkenalkan, termasuklah 267,780 dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menjadikan jumlah keseluruhan titik sentuh berdaftar di seluruh negara melebihi tiga juta lokasi di seluruh Malaysia.
Paynet turut mengatakan bahawa peningkatan transaksi nirtunai paling ketara direkodkan di Terengganu, Kelantan dan Kedah, dengan jumlah transaksi di kawasan luar bandar meningkat tiga kali ganda dari tahun ke tahun, menunjukkan penggunaan yang semakin meluas di segenap lapisan masyarakat.



