Baru-baru ini, Anthropic telah memperkenalkan model AI terbaru mereka, yang dinamakan Claude Mythos yang hadir dengan kemampuan memproses AI yang jauh lebih baik dan juga boleh digunakan untuk mencari pelbagai jenis kerentanan sekuriti dan pengaturcaraan pada sebuah perisian.
Mozilla, syarikat disebalik pelayar web Mozilla Firefox mengatakan bahawa mereka telah menggunakan Claude Mythos untuk mengesan 271 kerentanan keselamatan pada pelayar web mereka dalam tempoh yang singkat.
Akan tetapi, akses kepada Claude Mythos telah dihadkan kepada beberapa pihak tertentu sahaja, seperti Mozilla, Amazon, Microsoft, Apple dan Cisco. Baru-baru ini juga, terdapat banyak laporan yang mengatakan bahawa Claude Mythos telah diakses oleh pihak yang tidak sepatutnya mempunyai akses kepada model tersebut, dan Anthropic dikatakan sedang menyiasat dakwaan ini.

Menurut laporan Bloomberg, apa yang telah berlaku ialah sekumpulan pengguna telah meneka URL model AI Claude Mythos ini, berdasarkan nama model-model lama yang digunakan oleh Anthropic sebelum ini.
Setelah ia ditemui, salah seorang daripada kumpulan ini sudahpun mempunyai akses sebagai kontraktor dan pembangun pihak ketiga untuk Anthropic, dan ini memberinya akses kepada model Claude Mythos tersebut. Secara teknikalnya, ini bermaksud Claude Mythos tidak digodam, tetapi sekatan akses kepada model tersebut nampaknya tidak seketat seperti yang dikatakan.
Sesiapa yang tahu apakah URL yang diperlukan untuk mengaksesnya dan mempunyai akses berkaitan (seperti pembangun/kontraktor pengaturcaraan) boleh mengakses model tersebut dengan cukup mudah sekali.
Menurut laporan tersebut juga, kumpulan ini nampaknya hanya menggunakan Claude Mythos untuk membangunkan beberapa laman web biasa sahaja, dan tidak digunakan untuk sebarang tujuan jahat.
Walaupun begitu, Anthropic telah memberitahu pihak Bloomberg bahawa mereka sedang menyiasat perkara ini, dan akan memastikan bahawa akses kepada model tersebut diperketatkan lagi.



