PayNet bekerjasama dengan FAOM tubuh Fintech Hub sokong inovasi tempatan

LocalTechnology
23 May 2025 • 12:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PayNet bekerjasama dengan FAOM tubuh Fintech Hub sokong inovasi tempatan

image is not available

23/05/2025 - 12:45

(Dari kiri) : Ketua Komuniti FAOM, Helena Ng, Presiden FAOM, Anil Singh Gill, Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAOM, Wilson Beh, Ketua Pegawai Pemasaran PayNet, Gary Yeoh, Ahli Jawatankuasa FAOM, Marc Fong, Ketua Pembangunan Fintech, PayNet, Quimby Sun, Pengurus Pembangunan Fintech, PayNet, Lee Kok Yang. Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 23 Mei — Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menjalin kerjasama strategik bersama Fintech Association of Malaysia (FAOM) untuk menubuhkan PayNet Fintech Hub, sebuah platform baharu yang menyasarkan pembangunan syarikat pemula dalam sektor teknologi kewangan negara.

Kerjasama itu bertujuan memacu inovasi, memperluas akses pasaran serta memperkukuh libat urus dengan pihak kawal selia bagi pemain fintech tempatan, seterusnya menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab fintech serantau.

PayNet Fintech Hub bakal meyediakan akses sistem dan infrastruktur kepada syarikat fintech, selain peluang kolaborasi dan program sandbox kawal selia.

Ketua Pegawai Pemasaran PayNet, Gary Yeoh berkata, inisiatif tersebut bakal memberi ruang kepada syarikat pemula untuk membina, menguji, dan berhubung dengan ekosistem perkhidmatan kewangan negara secara langsung.

"Kerjasama ini bertujuan memudahkan syarikat fintech menukar idea kepada rumusan sebenar.

"PayNet Fintech Hub menyediakan ruang untuk membina, menguji, dan menghubungkan syarikat pemula dengan ekosistem kewangan tempatan.

"Ia merupakan langkah ke arah ekosistem yang lebih terbuka dan inovatif, di mana syarikat baharu boleh berkembang serta memberi impak bermakna," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden FAOM, Anil Singh Gill berkata, kerjasama tersebut diyakini mampu membawa nilai tambah kepada ekosistem fintech negara.

"Kami amat berbesar hati menjalin kerjasama bersama PayNet. Ini merupakan langkah awal ke arah kerjasama lebih meluas dan kami yakin ia akan memberi manfaat besar kepada ahli-ahli kami," katanya.

Antara inisiatif bersama yang bakal dilaksanakan termasuk sesi perkongsian ilmu, forum perancangan strategik, dan acara berjenama untuk memperkukuh ekosistem kewangan digital negara.

FAOM bakal bertindak sebagai penghubung utama antara komuniti fintech dan PayNet dengan menyediakan peluang jaringan, sesi bimbingan serta penglibatan bersama pengawal selia termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Usaha itu sejajar dasar progresif negara, infrastruktur canggih, dan strategi keterangkuman bagi menarik penyertaan pelbagai pihak termasuk pelabur global, sekali gus meningkatkan daya saing syarikat fintech tempatan di peringkat serantau.- DagangNews.com

standard