
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), rangkaian pembayaran negara dan pemacu utama ekonomi digital Malaysia, telah melancarkan Hab Fintech PayNet (“Hab”), sebuah komuniti dan pemecut pertama berfokuskan fintech negara.
Platform ini bakal memacu pertumbuhan fintech di Malaysia dengan menyediakan akses terus kepada modal, rangkaian industri utama, insentif kewangan, serta peluang pembelajaran dan bekerjasama dengan pemain global terkemuka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, “Industri fintech yang berkembang pesat merupakan kunci kepada usaha menyediakan perkhidmatan kewangan yang inklusif dan sedia masa depan yang mampu memacu matlamat pertumbuhan dan inovasi Malaysia.
“Inovasi fintech yang berkesan merupakan salah satu cara terbaik untuk memastikan Malaysia dapat menyaingi perubahan pantas sektor perkhidmatan kewangan yang disebabkan oleh perkembangan pesat AI. Pelancaran Hab Fintech PayNet menandakan langkah penting ke arah usaha merealisasikan visi ini.”
Berteras 2 tonggak utama: Komuniti dan Pemangkin
Hab ini merupakan sebuah program yang sangat selektif dan berteraskan kepada dua tonggak utama: Komuniti (COMMUNITY) dan Pemangkin (CATALYST). Fintech yang terpilih untuk menyertai Komuniti ini akan mendapat akses terus kepada:
- Komuniti pengasas dan pemain ekosistem yang berfikiran serupa untuk saling bertukar idea dan berkongsi ilmu pengetahuan
- Sesi bimbingan secara langsung selama lebih 450 jam bersama rangkaian pengasas dan pakar industri terkemuka
- Peluang kerjasama dengan pemain korporat utama daripada sektor perbankan, pembayaran, dan teknologi
- Kumpulan pelabur fintech yang boleh membimbing, menilai, dan melabur dalam ahli Hab Fintech
Semua ahli Komuniti Hab Fintech juga akan menerima sokongan kewangan eksklusif yang merangkumi:
- Kemudahan kredit nilai tambahan PayNet berjumlah lebih RM1 juta
- Perkhidmatan nasihat tajaan bernilai lebih RM600,000 yang meliputi bidang perundangan, kewangan, sumber manusia, dan penyelidikan pasaran
- Kemudahan kredit awan sehingga RM3 juta serta sokongan daripada penyedia perkhidmatan awan utama
- Akses kepada ruang kerja bersama yang ditaja sepenuhnya
Faedah istimewa dan amat menguntungkan ini disediakan khusus bagi membantu para pengasas mengurus aliran modal, mengatasi cabaran, memperkemas model perniagaan, mempertajam strategi pasaran baharu, mengumpul dana, dan menentukan hala tuju yang jelas ke arah kejayaan.
Bukan itu sahaja. Syarikat pemula berpotensi tinggi dalam kalangan Community akan dipilih untuk menyertai program Catalyst kami yang eksklusif. Program Pemangkin ini dijayakan dengan kerjasama institusi global terkemuka untuk memberikan pendedahan antarabangsa, bimbingan, sumber, dan akses kepada fintech terbaik Malaysia.
Peserta akan menyertai program pemecut selama 10 minggu yang ditaja sepenuhnya, hasil kerjasama dengan Imperial College London, sebuah institusi yang diiktiraf mempunyai salah satu program pemecut syarikat pemula terbaik di dunia. Program ini merangkumi lawatan selama seminggu ke London untuk bertemu dengan ahli fakulti Imperial College, serta syarikat pemula Eropah dan Amerika.

Para peserta akan menerima latihan dan bimbingan secara terus daripada ahli fakulti Imperial College, dan program ini akan diakhiri dengan hari pembentangan akhir yang membuka peluang kerjasama dengan rakan korporat dan pemodal teroka. Program pemecut ini telah direka khusus bagi memenuhi keperluan unik fintech Malaysia dan dibiayai sepenuhnya oleh PayNet.
Perkongsian Fintech Hub yang diperluaskan dengan AWS menyediakan peserta yang layak di bawah Catalyst dengan kredit untuk mendapat akses kepada perkhidmatan dan alat awan AWS melalui Wilayah AWS Asia Pasifik (Malaysia) yang baru dilancarkan. Selain itu, mereka juga mendapat peluang untuk menyertai Fintech Innovation Sandbox yang akan datang, membolehkan mereka berkembang dengan terlindung dan cekap.
“Hab Fintech PayNet sememangnya merupakan satu inisiatif yang unik dan transformatif, khusus untuk membantu syarikat pemula berkembang melepasi tahap pengukuhan asas. Ia menangani isu-isu utama yang sering dihadapi oleh fintech di Malaysia, dan kami menjangkakan ia akan dapat memacu pertumbuhan fintech di negara ini dengan pesat. Hab ini merupakan respon kami terhadap seruan global untuk kerjasama lebih pintar dan inovasi lebih pantas, menyatukan ekosistem fintech yang terpisah dan mencipta impak yang nyata dan boleh diskalakan, dan kami juga amat teruja dengan potensi yang dibawanya,” tambah Farhan lagi.
Dengan menawarkan akses terus kepada sumber paling utama, Hab Fintech PayNet bersedia untuk memacu inovasi, menjalin kerjasama berimpak tinggi, dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi fintech terkemuka di rantau ini.Untuk mendapatkan maklumat lanjut atau mendaftar sebagai syarikat pemula fintech, sila layari laman Fintechhub Paynet di sini.




![Penantian 6 Tahun Berakhir, Ramai Tersentuh Lihat Reaksi Mentua Lepas Menantu Surprise Umum Kehamilan [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)