
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa pencerobohan terbaharu tentera Israel di tengah Semenanjung Gaza—yang setakat ini telah meragut nyawa tiga rakyat Palestin—berisiko menyebabkan lebih 18,000 penduduk terpaksa berpindah selain menjejaskan perkhidmatan kemanusiaan yang penting.
Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq memaklumkan kepada pemberita pada Rabu bahawa Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan penduduk Palestin mula melarikan diri dari kawasan terjejas di Deir al-Balah menuju ke arah barat dan barat daya sejak awal pagi Rabu.
“Analisis awal menunjukkan bahawa lebih daripada 18,000 orang tinggal di kawasan yang terjejas itu, yang meliputi keluasan kira-kira 2.5 kilometer persegi. Kira-kira 4,000 daripada mereka menetap di tapak-tapak penempatan sementara,” katanya.
Amaran berkenaan dikeluarkan susulan pengumuman pencerobohan tentera Israel di luar sempadan yang dikenali sebagai “garisan kuning” di Deir al-Balah, iaitu zon yang menandakan kawasan Gaza di bawah pendudukan Israel dan diwujudkan di bawah perjanjian “gencatan senjata” yang ditandatangani antara Israel dan Hamas pada Oktober 2025.
Haq berkata rakan-rakan kongsi kemanusiaan turut memberi amaran bahawa beberapa perkhidmatan bantuan kritikal yang beroperasi di kawasan terbabit berkemungkinan besar akan tergendala akibat operasi ketenteraan tersebut.
PBB turut merekodkan bahawa kawasan berkenaan sebelum ini telah dikenakan sebanyak enam arahan pengusiran paksa oleh Israel antara Disember 2023 hingga Jun 2025.
“Orang awam yang melarikan diri mesti dibenarkan pulang sebaik sahaja keadaan mengizinkan. Sama ada mereka memilih untuk berpindah atau kekal, semua orang awam wajib dilindungi serta berhak menerima bantuan kemanusiaan yang diperlukan.
“Kemudahan kemanusiaan dan infrastruktur awam juga mesti dilindungi. Kesemua ini merupakan tuntutan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” tegas Haq.
Kebimbangan Terhadap Gelombang Perpindahan Baharu
Sementara itu, penduduk di kawasan yang terjejas memberitahu agensi berita AFP bahawa mereka terpaksa melarikan diri demi menyelamatkan nyawa, dengan kebanyakannya sudah berulang kali mengalami nasib yang sama.
“Apabila kami mendengar bunyi tembakan dan letupan, kami berasa amat ketakutan, lebih-lebih lagi kawasan tempat tinggal kami terletak sangat hampir dengan lokasi pencerobohan,” kata seorang penduduk kem pelarian Al-Bureij, Um Ahmad al-Tartoori kepada AFP.
Seorang lagi penduduk Al-Bureij, Mahmoud al-Saafin, 27, pula meluahkan kebimbangan bahawa serangan itu hanyalah permulaan kepada operasi ketenteraan yang lebih berskala besar.
“Kami bimbang ini mungkin permulaan kepada operasi yang lebih luas dan episod perpindahan paksa akan berulang kembali, sedangkan kami masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan peperangan dan perpindahan sebelum ini,” ujarnya kepada AFP.
Sejak Oktober 2023, perang genosid Israel ke atas Gaza telah mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 176,000 yang lain, dengan majoriti mangsa terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak. Bagaimanapun, pakar berpandangan angka kematian rasmi itu jauh lebih rendah daripada jumlah sebenar yang dianggarkan mencecah sekitar 200,000 orang.
Rejim Tel Aviv juga telah memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur di Gaza, dengan PBB menganggarkan kos pembinaan semula wilayah itu menelan belanja sekitar AS$71.4 bilion.
Sehingga kini, Israel menduduki hampir 60 peratus kawasan Gaza, dan pencerobohan berterusan itu dilihat sebagai cubaan Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu untuk mengalihkan perhatian daripada krisis politik dalaman serta menghalang pembentukan kerajaan baharu susulan kemerosotan prestasi partinya dalam pilihan raya baru-baru ini.
Sumber: TRT World & Agensi






