
Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan perjuangannya terus kekal dan relevan, sambil menolak dakwaan parti itu telah kehilangan arah dalam landskap politik semasa.
Naib Presiden merangkap Ketua Pemuda PBS, Datuk Dr Christopher Mandut (gambar), berkata semangat parti, yang berasaskan keberanian, ketabahan dan kesetiaan terhadap prinsip, masih kukuh selepas hampir empat dekad ditubuhkan.
Beliau mengulas komentar oleh Datuk Raymond Tombung bertajuk “Questions for PBS leaders: What exactly is your struggle in PRN17?” yang mempersoalkan keikhlasan dan hala tuju PBS menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“PBS masih wujud, masih berdiri dan terus berjuang untuk Sabah. Parti ini bukan sekadar nama dalam sejarah — ia melambangkan keringat dan maruah yang membina identiti politik negeri ini,” katanya.
Mandut menegaskan bahawa PBS berkembang mengikut peredaran masa tetapi tidak pernah berkompromi terhadap prinsip perjuangannya.
“Keberanian sebenar bukan menentang perubahan secara membuta tuli, tetapi menyesuaikan diri dengan bijaksana. PBS tidak tunduk kepada perubahan — kami membentuknya,” katanya.
Menepis dakwaan bahawa PBS didorong oleh kuasa, beliau menegaskan parti itu konsisten memperjuangkan kepentingan rakyat, mempertahankan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pemilikan tanah adat, dan pembangunan luar bandar.
“Jika PBS gilakan kuasa, kami sudah lama meninggalkan prinsip dan berpihak kepada sesiapa yang menawarkan jawatan. Tapi itu bukan cara kami,” tegasnya.
Mengulas dakwaan PBS menyesuaikan diri mengikut ‘angin politik’, Mandut menjelaskan bahawa strategi boleh berubah tanpa menggadai prinsip.
“Dalam politik, kebijaksanaan bermaksud mengemudi badai tanpa hilang arah. Kami menyesuaikan diri, tapi tidak menyerah,” ujarnya.
Menurutnya, pembangunan tetap menjadi nadi perjuangan PBS dengan projek jalan raya, jambatan, sekolah dan bekalan air menjadi bukti nyata usaha parti untuk semua rakyat Sabah.
“Menolak pembangunan sebagai gimik politik bererti menafikan keadilan sosial. Bagaimana kita mahu bercakap tentang keadilan jika masih ada yang kekurangan kemudahan asas?” katanya.
Mandut menegaskan sikap tenang PBS bukan tanda kelemahan, sebaliknya cerminan keazaman untuk mengekalkan kestabilan Sabah.
“PBS tidak berdiam kerana takut; kami bekerja dalam senyap. Kami bekerjasama demi Sabah, bukan tunduk demi kuasa,” katanya.
Beliau mengakui wujud rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi namun menganggapnya tanda bahawa parti masih hidup dan responsif, dengan generasi muda sedang dipersiapkan untuk meneruskan perjuangan.
“PBS akan terus mara dengan wajah dan tenaga baharu, namun semangatnya tetap sama seperti tahun 1985. Kami berjuang bukan sekadar untuk pilihan raya, tetapi untuk masa depan Sabah dan kedudukannya sebagai rakan setara dalam Malaysia,” katanya.
Menggambarkan PRN17 sebagai ujian ketahanan parti itu, Mandut berkata PBS akan membuktikan kepentingannya melalui keikhlasan dan perkhidmatan, bukan kelantangan.
“Ujian hanya datang kepada mereka yang masih penting. Api perjuangan kami tidak pernah padam — kini menyala lebih terang, dengan setia dan tenang,” katanya.
Beliau menegaskan PBS tidak pernah menggadaikan maruah Sabah meskipun kehilangan kuasa dan berdepan pelbagai serangan politik.
“Kami mungkin pernah kalah, tetapi tidak pernah menjual prinsip. PBS bukan sekadar parti — ia semangat Sabah itu sendiri,” katanya.
“Biar orang lain mengejar populariti dengan retorik. Kami memilih realiti melalui tindakan. Dalam dunia penuh kepura-puraan, PBS berpegang pada kejujuran. Kami tidak perlu menjerit untuk didengar — kami bekerja untuk dilihat,” tambahnya.

