PBT diarah ambil tindakan terhadap pemaju gagal urus kolam tadahan

6 Nov 2026 • 9:46 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PBT diarah ambil tindakan terhadap pemaju gagal urus kolam tadahan

SHAH ALAM, 6 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemaju yang gagal menyelenggara kolam tadahan serta mengurus aliran air dan kelodak di tapak pembinaan.

EXCO Infrastruktur, Dato' Ir Izham Hashim berkata arahan itu susulan mesyuarat penyelarasan bersama pelbagai agensi bagi meneliti isu banjir secara menyeluruh dan memastikan tindakan susulan dilaksanakan.

Menurutnya, pemaju bertanggungjawab memastikan pengurusan air dan kelodak di tapak pembinaan mematuhi Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP).

“PBT berkenaan telah diarahkan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya terhadap pemaju yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya menerusi Facebook.

Izham berkata mesyuarat yang diadakan semalam turut melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta wakil jabatan kejuruteraan daripada semua PBT di Selangor.

Turut hadir wakil Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS, KUSEL, Infrasel, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor.

Beliau sebelum itu turut meninjau kerosakan akibat runtuhan jalan tuju pembetung di Jalan Kubu Gajah, berhampiran Sungai Subang di Kampung Kubu Gajah.

Izham menegaskan Kerajaan Negeri akan terus mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan penduduk dalam menangani risiko banjir, khususnya ketika berdepan cabaran cuaca.

“Dalam menghadapi cabaran cuaca, keutamaan kita bersama ialah merancang dengan teliti dan memastikan setiap langkah yang dipersetujui dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved