PBT diarah bertindak serta-merta terhadap premis sembelihan ayam tanpa lesen, penyembelih bertauliah

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 6:48 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PBT diarah bertindak serta-merta terhadap premis sembelihan ayam tanpa lesen, penyembelih bertauliah

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini melaksanakan tindakan penguatkuasaan serta-merta terhadap premis sembelihan ayam tidak berlesen.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang hari ini.

Menurut beliau, tindakan tegas itu menyasar premis sembelihan yang gagal mengemukakan lesen PBT serta tidak menggunakan khidmat penyembelih bertauliah.

"Tindakan penguatkuasaan mesti dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk mengarahkan penutupan premis dan memusnahkan strukturnya jika perlu.

"Langkah ini penting bagi membanteras bekalan ayam mentah tidak halal daripada memasuki pasaran tempatan, sekali gus merungkaikan kebimbangan umat Islam di Selangor," katanya dalam kenyataan media dikeluarkan petang ini. 

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati masyarakat agar hanya membeli bekalan ayam mentah atau makanan berasaskan ayam daripada premis yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sah keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tegasnya, pemegang SPHM tertakluk kepada syarat ketat yang mewajibkan penggunaan bekalan ayam halal daripada sumber yang sah sahaja.

Pengguna boleh menyemak senarai dan lokasi premis yang memiliki SPHM secara rasmi menerusi Portal Halal Malaysia di pautan www.halal.gov.my.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kewujudan pusat sembelihan ayam disyaki haram juga diminta menyalurkan laporan terus kepada PBT berdekatan atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tindakan susulan.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri kekal komited bagi memastikan kelangsungan bekalan ayam halal yang selamat dan berpatutan untuk seluruh rakyat Selangor.

Pada 30 Oktober lalu, sebuah premis di Puchong diserbu dan lebih 6.5 juta tan ayam mentah dirampas keranan gagal memenuhi keperluan pensijilan halal. 

Operasi bersepadu berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Alam Sekitar serta Pejabat Kesihatan Petaling. 

Turut ditahan dalam Ops Taring Chiller itu ialah 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di premis berkenaan. 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved