Banjir berulang, Amirudin arah semua pembangunan di Puncak Alam dihentikan serta-merta!

LocalEnvironment
6 Nov 2026 • 8:36 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan semua kerja pembangunan di Puncak Alam dihentikan serta-merta susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri itu.

Keputusan dibuat menerusi MMKN

Memetik laporan daripada Bernama, Amirudin menyatakan keputusan berkenaan dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membolehkan pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dinilai semula.

Ujarnya, kerajaan negeri memandang serius keresahan rakyat yang terpaksa berdepan kejadian banjir sehingga mengganggu urusan harian, termasuk perjalanan ke tempat kerja dan mengambil anak dari sekolah.

“Setiap teguran rakyat terhadap agensi kerajaan perlu diterima secara terbuka dan dijadikan dorongan untuk meningkatkan usaha membantu mangsa serta mengelakkan kejadian banjir berulang.
“Rakyat tidak mampu mendengar alasan daripada mana-mana agensi sekiranya banjir berlaku, sebaliknya mereka mahu hidup secara selamat tanpa perlu risau tentang keselamatan diri ataupun keluarga tersayang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Image from: Banjir berulang, Amirudin arah semua pembangunan di Puncak Alam dihentikan serta-merta!

Foto: Bernama

Kerja mitigasi banjir dipercepat

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan kerja mitigasi banjir berskala kecil dan besar di seluruh Selangor, khususnya kawasan berisiko tinggi, perlu dipercepatkan tanpa terikat dengan jadual konvensional.

Jelasnya, langkah itu penting memandangkan hujan dijangka berlaku hampir setiap hari ketika negara berdepan cabaran perubahan iklim.

“Budaya kerja mitigasi banjir perlu sepadan dengan cabaran yang sedang dihadapi agar sebarang kemudaratan kepada rakyat dapat dielakkan,” ujar beliau lagi.

Dalam pada masa sama, kerajaan negeri akan menyegerakan serta menambah bantuan kepada mangsa banjir yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Usaha membaik pulih dan membersihkan rumah mangsa turut dipercepatkan menerusi kerjasama agensi kerajaan negeri bersama Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI.

Image from: Banjir berulang, Amirudin arah semua pembangunan di Puncak Alam dihentikan serta-merta!

Foto: Bernama

Menurutnya, bantuan sehingga RM1,500 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri akan disalurkan kepada mangsa yang berada di PPS bagi meringankan beban kewangan sepanjang tempoh kerja pembaikan.

Selain itu, amaran awal akan diberikan kepada pengguna jalan raya di kawasan berisiko mengalami kenaikan paras air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut diminta melaksanakan kerja pengalihan aliran air dengan segera, manakala semua agensi bertanggungjawab mempercepatkan penyelenggaraan longkang dan sungai tanpa sebarang kelewatan,” tambah beliau.

Dalam perkembangan sama, Amirudin memaklumkan Jalan Batu Arang di Rawang akan ditutup sementara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) susulan kejadian runtuhan tebing bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.

Sumber: Bernama
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved