PBT diberi kuasa bertindak ke atas rumah ibadat tidak sah: Kerajaan

LocalPolitics
9 Feb 2026 • 10:52 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara diberi keizinan untuk merobohkan rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah, demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan walau keputusan itu bakal mengundang kontroversi, Malaysia punya undang-undang yang perlu dihormati oleh semua.

"Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan dan majlis perbandaran (PBT) diberi keizinan untuk 'membersihkan' kuil bukan hak. Saya tahu boleh mengundang kontroversi. Negara ini negara hukum," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, di Putrajaya hari ini.

Hadir sama, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, ketegasan itu perlu dilihat dalam kerangka perpaduan nasional dan penyelesaian berasaskan undang-undang, bukan konfrontasi.

Isu berkenaan, jelas beliau tidak tertumpu kepada mana-mana agama secara khusus, sebaliknya membabitkan pembinaan rumah ibadat di tapak yang tidak mendapat kebenaran sah.

"Walaupun istilah yang digunakan umum seperti kuil, perkara pokoknya ialah pembinaan di tempat atau tapak yang tidak sah. Di bawah peraturan, sama ada disenangi atau tidak, semua perlu ikut undang-undang.

"Masjid dibangunkan ikut peraturan, gereja dibangunkan ikut peraturan, begitu juga rumah ibadat lain. Yang penting, cari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan," katanya.

Anwar berkata, tindakan hanya akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang dan sebarang isu perlu ditangani melalui rundingan serta saluran yang sah.

"Bagaimana Batu Caves? Batu Caves itu sah, ada cadangan Batu Caves nak buat eskalator. Saya bincang dengan Menteri Besar Selangor semalam, kebetulan saya bersama dengan Sultan tanya pendapat baginda.

"Batu Caves itu mendapat kelulusan. Dia minta oleh kerana tangga naik tinggi, oleh kerana tinggi, ada yang cadangkan nak bina, eskalator. Jadi pendapat saya, tak apa. Dia tak ganggu tanah orang, dia tak paksa, dia tak rampas hak orang lain," katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan, dasar itu bukan perkara baharu, sebaliknya kesinambungan pendirian kerajaan terdahulu merentasi pelbagai pentadbiran.

"Isu ini bukan baru timbul semalam. Dasar kerajaan ini berterusan sejak zaman BN (Barisan Nasional), PN (Perikatan Nasional), PAS, PH (Pakatan Harapan) sehingga sekarang," katanya.

Tegas Anwar, Islam kekal sebagai agama Persekutuan, manakala agama lain diberikan hak masing-masing.

"Apakah wajar kita beri penghormatan kepada semua agama? Ya. Tetapi apakah kita boleh beri kebenaran kepada rumah ibadat yang tidak ikut peraturan? Tidak boleh.

"Kalau di atas tanah orang lain, tanah yang dirampas atau diambil tanpa kebenaran, tak boleh dijadikan sah," katanya sambil menegaskan bahawa tapak pembinaan rumah ibadat yang tidak sah, tidak boleh diiktiraf.

"Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan, naik di mana-mana di bawah pohon, di mana-mana. Ini mesti dibendung. Saya tanya di India ataupun di negara China, di negara China, dia tidak izinkan. Di India tidak diizinkan, melainkan di tempat yang sah. Jadi biar ini jadi dasar kita faham," tegasnya.

The post PBT diberi kuasa bertindak ke atas rumah ibadat tidak sah: Kerajaan appeared first on Scoop.