PBT disaran had masa penjualan arak di kedai 24 jam - Kimma

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 3:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Syed Alwi

SEREMBAN – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mempertimbangkan larangan atau had masa penjualan minuman keras di kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.

Ahli Majlis Tertinggi Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Syed Alwi Syed Jaafar berkata, penjualan arak tanpa had masa di premis beroperasi sepanjang hari telah membuka ruang kepada orang ramai mendapatkannya dengan lebih mudah.

"Kerajaan harus menghadkan penjualan arak di premis ini atau mengehadkan tempoh masa penjualannya.

"Ini kerana apabila ia mudah didapati, pelbagai kes akan timbul termasuk menyumbang kepada kes kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pengambilan alkohol," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk juga sudah kerap kali berlaku dan menimbulkan kemarahan banyak pihak.

Justeru katanya, perlu ada satu tindakan diambil bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak terus berlaku.

"Kerajaan perlu melihat isu pemandu mabuk ini secara menyeluruh dengan menangani punca utama, iaitu akses yang terlalu mudah terhadap minuman keras.

"Jadi had masa penjualan wajar dipertimbangkan di seluruh negara. Saya yakin apabila arak tidak mudah didapati dan tidak dijual secara berleluasa, banyak masalah akan dapat diselesaikan,"katanya.

Tambahnya, kesan negatif pengambilan alkohol bukan sahaja membahayakan individu, malah memberi implikasi kepada keselamatan awam serta kesejahteraan masyarakat.

Sebelum ini media melaporkan, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat di Klang, Selangor.

Siasatan awal mendapati pemandu Honda City, lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dipercayai memandu secara laju dan berbahaya dengan memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

Akibat pelanggaran itu, mangsa, Amirul Hafiz Omar, 33, tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.