PBT, JPS digesa periksa pam, pintu air setiap minggu

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 4:04 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PBT, JPS digesa periksa pam, pintu air setiap minggu

SHAH ALAM, 17 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor digesa menyelaraskan jadual penyelenggaraan berhubung pemeriksaan pintu air dan pam bagi memastikan infrastruktur itu berfungsi sebaiknya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning S. Preakas berkata penjadualan secara sistematik membolehkan setiap kerosakan dikesan sekali gus memudahkan agensi bertanggungjawab mengambil tindakan.

"Di lot-lot Bukit Kemuning dan Indah Residence, penduduk berdepan masalah saliran monsun yang kerap tersumbat. Kerana tidak mempunyai rancangan keseluruhan daripada developer, mereka hanya memikirkan pocket development sahaja, sama ada banjir atau apa-apa bukan menjadi masalah mereka.

"Di sini, peranan PBT perlu untuk memastikan apabila ada Kebenaran Merancang (KM) kena menyeluruh kepada satu penyelesaian saliran bersesuaian bagi mengelak mereka mengatakan tidak ada hak (menyelesai) kerana tidak boleh masuk kawasan tanah orang lain.

"Saya minta PBT, JPS selaraskan jadual penyelenggaraan di kawasan-kawasan ini dan menetapkan pemeriksaan mingguan bagi pintu air, pam di lokasi kritikal dan menyediakan saluran supaya wakil rakyat dan penduduk dapat tahu status tindakan dan pembaikan," katanya hari ini.

Membahaskan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), Preakas juga mahu pihak berkaitan melihat semula penyambungan elektrik di pam skru yang dipasang di kawasan berkaitan.

"Saya membawa suara penduduk Sri Muda, Jalan Bukit Kemuning Batu 5 dan Batu 8, Kampung Bukit Lanchong serta Taman Bukit Kemuning. Setiap kali hujan lebat, mereka mahu tahu sama ada pam, pintu air dan saliran di kawasan mereka mampu menampung aliran air.

"Di Jalan Srikandi 25/14, pam skru telah dipasang, namun saya dimaklumkan bekalan elektrik tidak disambungkan. Apabila ditanya Tenaga Nasional Berhad (TNB) maklumkan tiada masa untuk memasang bekalan elektrik.

"Sudah berapa lama kita menunggu, adakah perlu menunggu banjir baharu dipasang, bukan sekadar di Sri Muda tetapi di pam-pam kawasan lain di seluruh Selangor. Banyak boleh diselesaikan jika semua pihak bekerjasama," katanya.

Dalam pada itu, Preakas mencadangkan Kerajaan Negeri melaksanakan projek rintis Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Penduduk Kota Kemuning berdepan kesesakan waktu puncak di Persiaran Anggerik Mokara, Persiaran Anggerik Oncidium dan Persiaran Anggerik Eria. Difahamkan flyover (jejambat) baharu akan dibina tetapi kita tidak tahu bila akan bermula dan siap.

"Setiap minit yang terperangkap dalam kesesakan ialah masa yang terpaksa diambil daripada kerja, keluarga atau rehat. Selari dengan agenda kecerdasan buatan Kerajaan Negeri, saya mencadangkan PBT memulakan projek rintis ITS di persimpangan yang paling sesak.

"Penderia dan analisis trafik masa nyata boleh membantu lampu isyarat menyesuaikan tempoh hijau mengikut aliran kenderaan. Ukur masa perjalanan sebelum dan selepas pelaksanaan dan semak sama ada barisan kenderaan berkurang atau beralih ke persimpangan seterusnya," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved