
PETALING JAYA: Kerajaan perlu wujudkan kerangka kawal selia yang lebih bersepadu antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi memastikan hanya premis penginapan sewaan jangka pendek (STRA) yang memenuhi syarat, dibenarkan menawarkan perkhidmatan penginapan kepada pelancong.
Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, setiap premis STRA yang memohon atau memperbaharui lesen daripada PBT perlu dibuktikan telah berdaftar dengan kementerian dan menjalani proses penarafan atau pengelasan premis penginapan pelancong yang diiktiraf.
Katanya, langkah tersebut sekali gus dapat membendung operasi premis penginapan yang beroperasi di luar rangka kerja kawal selia industri pelancongan.
“Jika mengendalikan perniagaan penginapan dan memperoleh pendapatan daripada pelancong, maka anda mesti diiktiraf dalam sistem kawal selia pelancongan.
“PBT dan kementerian tidak boleh beroperasi secara berasingan apabila mengawal selia ekosistem penginapan yang sama. Perlu ada penyelarasan, perkongsian maklumat dan proses pengesahan yang lebih baik antara pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ganesh berkata, pihaknya turut meminta penjelasan berhubung status terkini cadangan pindaan terhadap Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
“Pihak industri berhak mengetahui apakah status semasa pindaan kepada Akta Industri Pelancongan 1992, bilakah pindaan yang dicadangkan akan dimuktamadkan dan sama ada ia menyediakan instrumen kawal selia yang diperlukan bagi menangani realiti pasaran penginapan serta pelancongan digital hari ini,” katanya. – UTUSAN
The post PBT, Motac digesa kawal selia STRA appeared first on Utusan Malaysia.

