
PETALING JAYA – Caritapak.my, sebuah produk daripada syarikat teknologi acara tempatan, kini menjadi sebuah platform yang menawarkan sistem operasi bersepadu khusus untuk memenuhi keperluan industri acara dan sewaan bagi tempoh jangka pendek.
Ini adalah inovasi pertama seumpamanya yang dibangunkan oleh syarikat tempatan yang dapat mengatasi beberapa cabaran dan kekangan yang boleh menyebabkan industri tersebut tidak boleh berkembang.
Ia juga adalah antara faktor yang membolehkan pemain dalam industri berkenaan berkembang hingga ke rantau ASEAN.
Sebelum ini, terdapat tiga cabaran utama yang sekian lama membelenggu industri tersebut iaitu komunikasi yang tidak selaras, pematuhan vendor yang tidak konsisten terhadap undang-undang dan terma penyertaan serta proses kewangan yang manual dan rumit.
Selain itu, penganjur acara (EO) dan vendor di Malaysia menguruskan operasi mereka menerusi pelbagai saluran tidak rasmi seperti aplikasi pemesejan (Telegram, WhatsApp), hamparan data (spreadsheet), serta ketiadaan kontrak bertulis yang formal.

Proses pengesahan lesen dan permit vendor sering dilakukan secara manual dan tidak konsisten, manakala pembayaran kepada vendor boleh memakan masa berbulan-bulan selepas acara berakhir.
Tiada juga sistem tunggal yang membolehkan EO memantau status pematuhan vendor, baki pembayaran, komunikasi, serta analisis data ekonomi acara secara masa nyata.
Pengasas Caritapak.my, Haziq Hamid berkata, platform ini direka bentuk berdasarkan ekosistem melalui tujuh kategori pengguna platform yang merangkumi majlis perbandaran, pusat beli-belah, pemaju hartanah, penganjur acara, vendor, pemilik perniagaan, dan pengguna.
Menurut beliau, sasaran utamanya adalah untuk menjadi lapisan infrastruktur teras bagi pengurusan ruang jangka pendek dan acara di seluruh Malaysia.
Ia juga selari dengan peningkatan permintaan pasaran terhadap acara luar, festival, dan sewaan jangka pendek di Malaysia serta rantau ASEAN.
“Ramai menyangka industri acara ini mudah dan menyeronokkan, namun hakikatnya, pengurusan di sebalik tabir amat mencabar.
“Industri acara dan sewaan jangka pendek di Malaysia mempunyai permintaan yang sangat tinggi, namun ia masih bergerak atas dasar kepercayaan semata-mata.
“Sebanyak 90 peratus penganjur masih beroperasi secara manual, yang menjejaskan kecekapan pengurusan.

“Kami mahu menormalisasikan acara yang mematuhi undang-undang Malaysia melalui mekanisme teknologi perisian yang mampu menganalisis data ekonomi acara secara tepat termasuk jumlah pengunjung, transaksi jualan vendor, dan profil kuasa pembeli untuk penambahbaikan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Haziq menerangkan, platform ini menghubungkan penganjur acara dan vendor dalam satu sistem yang menggabungkan aspek pematuhan, komunikasi, dan kewangan.
Selain itu, Pengasas Bersama Caritapak.my, Ikhwan menerangkan, pengguna kini boleh memantau pemilihan tapak, status dokumentasi, terma kontrak, dan jadual pembayaran di satu tempat, berbanding perlu merujuk pelbagai saluran yang berasingan.
“Dari segi teknologi, cabaran terbesar bukanlah reka bentuk antara muka, sebaliknya infrastruktur kepercayaan.
“Kami membina lapisan pematuhan dan pengesahan terlebih dahulu, menghubungkan pihak-pihak berkepentingan dengan kepercayaan berasaskan data yang memudahkan pengguna dalam ekosistem platform,” ujarnya.
Kini, Caritapak.my sedang menjalin kerjasama dengan pusat beli-belah, pemaju hartanah, penganjur acara, dan vendor di seluruh Malaysia serta merancang untuk memperluas kehadirannya ke seluruh Asia Tenggara. -KOSMO! ONLINE
The post Caritapak.my inovasi syarikat bumiputera tawar penyelesaian dalam bidang acara appeared first on Kosmo Digital.






