PBT perbanyak gelanggang sukan percuma, bantu penggerak komuniti bentuk pelapis atlet

23 Aug 2026 • 4:34 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PBT perbanyak gelanggang sukan percuma, bantu penggerak komuniti bentuk pelapis atlet

PUCHONG: Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa memperbanyakkan gelanggang sukan awam secara percuma serta memastikan kemudahan berkenaan diselenggara dengan baik bagi memberi ruang kepada masyarakat, khususnya golongan muda, terbabit dalam aktiviti kesukanan.

Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berkata, kemudahan sukan di peringkat akar umbi amat penting kerana bukan sahaja memberi peluang kepada anak-anak mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat, malah menjadi platform membentuk nilai dan sahsiah yang tidak boleh diperoleh sepenuhnya di dalam bilik darjah.

“Anak-anak kita menyertai diri dalam kesukanan. Apa-apa jenis sukan sekali pun perlu disertai supaya mereka dapat menggunakan masa dengan baik.

“Saya percaya apabila ada kesihatan, kecerdasan, otak pun lebih cerdas. Begitu juga sukan yang berpasukan, anak-anak kita boleh belajar macam mana erti semangat berpasukan.

“Jadi, ini adalah nilai yang mereka hanya boleh dapati daripada sukan. Mereka tak boleh dapat dari kelas terutama dari segi kerjasama dan bagaimana untuk menyelesaikan masalah secara bersama,” katanya ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang Liga Bola Sepak Vipers Super Sunday peringkat umur bawah lapan dan 10 tahun di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Image from: PBT perbanyak gelanggang sukan percuma, bantu penggerak komuniti bentuk pelapis atlet
YEO Bee Yin menyampaikan Piala Yeo Bee Yin kepada Juara U10 pasukan LJFC pada kejohanan Vipers Super Sunday.

Liga yang dianjurkan Kelab Lestari Vipers FC itu merupakan edisi kelima penganjuran yang menampilkan penyertaan kelab-kelab akar umbi sekitar Lembah Klang bagi membentuk pelapis atlet bola sepak negara.

Bee Yin berkata, pembangunan sukan akar umbi juga penting dalam memastikan negara mempunyai sumber bakat yang mencukupi untuk diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Yeo membantah sebarang cadangan untuk menswastakan gelanggang bola sepak awam yang boleh menyebabkan masyarakat terpaksa membayar untuk menggunakan kemudahan berkenaan.

“Saya juga nampak sekarang ada banyak tempat di mana gelanggang bola sepak bukan lagi percuma. Saya di sini rasa sebagai Ahli Parlimen, saya sentiasa nak menegaskan bahawa kita perlu memperbanyak gelanggang awam yang percuma untuk rakyat Malaysia.

“Itu sangat penting. Memang ada gelanggang awam tetapi banyak warga asing yang main. Jadi, semua PBT perlu mencari jalan untuk pastikan kita ada gelanggang percuma yang mencukupi dan memastikan rakyat Malaysia mendapat keutamaan dalam penggunaan gelanggang ini,” katanya.

Beliau berkata, kos menggunakan gelanggang bola sepak ketika ini dilihat semakin mahal, justeru kemudahan awam yang berkualiti dan percuma perlu diperbanyakkan khususnya bagi aktiviti sukan akar umbi.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2027, beliau turut menyarankan supaya pembangunan sukan komuniti diberi keutamaan berbanding hanya memberi tumpuan kepada sukan elit yang sudah mempunyai kemudahan lengkap.

Menurutnya, PBT memainkan peranan penting dalam memastikan kemudahan sukan komuniti sentiasa berada dalam keadaan baik, termasuk menaik taraf gelanggang lama, menyediakan pencahayaan dan memastikan kemudahan berkenaan boleh digunakan masyarakat.

Bee Yin turut memuji insiatif Vipers FC dalam menggerakkan sukan bola sepak akar umbi kerana penglibatan kanak-kanak dalam sukan bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan dalam pertandingan, sebaliknya membantu mereka mengurus masa dengan lebih baik serta membentuk disiplin dan semangat berpasukan.

Beliau turut menyatakan kesediaan menyokong penggerak komuniti yang menjalankan program pembangunan sukan, selain menggalakkan kerjasama dengan sektor korporat bagi membantu kelangsungan liga tempatan.

Beliau berkata, sukan juga mempunyai keupayaan menyatukan masyarakat pelbagai kaum kerana ketika menyokong pasukan atau menyertai pertandingan, perbezaan latar belakang tidak lagi menjadi penghalang.

“Saya rasa, kalau kita tengok trend di Malaysia. Masa sukan, kita paling bersatu. Masa sukan tak kira kulit apa, kita memberikan sokongan padu,” katanya. – UTUSAN

The post PBT perbanyak gelanggang sukan percuma, bantu penggerak komuniti bentuk pelapis atlet appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved