PBT teliti semula prosedur pengurusan haiwan liar

2 Aug 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Prosedur pengurusan haiwan liar

SHAH ALAM: Prosedur operasi pengurusan haiwan liar akan diteliti semula melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dalam memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan, selamat dan berperikemanusiaan.

Penelitian tersebut termasuklah aspek latihan, prosedur dan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta pihak berkepentingan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu kerana keselamatan awam dan kebajikan haiwan merupakan dua tanggungjawab yang perlu dipelihara secara seimbang.

“Setiap operasi penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan secara profesional, berhemah serta mematuhi undang-undang dan prosedur operasi yang ditetapkan.

“Kerajaan negeri menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden yang mengakibatkan kematian seekor anjing semasa operasi tangkapan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) membuat laporan polis berhubung insiden tersebut, dan Polis Diraja Malaysia sudah pun membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian secara menyeluruh.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan profesional serta menyeru semua pihak supaya menghormati proses siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara, pada masa yang sama memperkukuhkan amalan kebajikan haiwan serta mengekalkan keyakinan rakyat terhadap integriti dan profesionalisme institusi kerajaan,” ujarnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, menzahirkan dukacita terhadap insiden keganasan serta kekejaman terhadap haiwan peliharaan dan terbiar seperti yang tular dalam media sosial mutakhir ini.

Baginda bertitah, tindakan penyeksaan terhadap haiwan bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang, malah mencerminkan kegagalan dalam mempertahankan nilai belas ihsan sesama makhluk dan kemanusiaan.

Sebelum itu, Ibu pejabat Polis Daerah Klang Selatan dilapor membuka kertas siasatan membabitkan kematian seekor anjing semasa operasi tangkapan haiwan berkeliaran di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, pada 29 Julai lalu dipercayai mempunyai unsur khianat terhadap haiwan. – UTUSAN

The post PBT teliti semula prosedur pengurusan haiwan liar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved