
PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan segera meneliti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) untuk tempoh 2014 hingga 2020.
AGC dalam kenyataan memaklumkan, penelitian itu bertujuan memastikan segala aspek siasatan oleh badan-badan penguat kuasa dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan komprehensif.
Katanya, ia akan membolehkan pertimbangan sewajarnya dibuat untuk menentukan sama ada wujud sebarang pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan.
Menurut AGC, jabatan itu memandang serius penemuan yang terkandung dalam laporan RCI berhubung hal ehwal pengurusan, pelaburan dan dakwaan salah laku.
“AGC turut menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk menyahklasifikasikan laporan RCI berhubung isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 serta mendedahkannya kepada umum.
“Jabatan ini akan mengambil tindakan segera meneliti laporan berkenaan bagi memastikan segala aspek siasatan oleh badan-badan penguat kuasa dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan komprehensif agar pertimbangan sewajarnya dapat dibuat bagi menentukan sama ada wujud sebarang pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan,” katanya.
AGC berkata, tindakan dan komitmen jabatan adalah selaras dengan tanggungjawab untuk memastikan siasatan sentiasa dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan berdasarkan bukti yang ada.
AGC memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan, sekiranya perlu akan dibuat berasaskan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima oleh mahkamah tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam.
“Bagi memelihara integriti proses siasatan, orang ramai disaran supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta menghakis keyakinan terhadap kewibawaan dan kelangsungan TH dalam melaksanakan peranannya di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” katanya. – UTUSAN
The post AGC teliti laporan RCI TH, pertimbang pendakwaan appeared first on Utusan Malaysia.






