PCSB, NPO meterai perjanjian bina 1,202 unit Rumah Idaman di Bandar Bukit Raja

11 Jun 2026 • 3:45 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PCSB, NPO meterai perjanjian bina 1,202 unit Rumah Idaman di Bandar Bukit Raja

SHAH ALAM, 11 JUN: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menerusi anak syarikatnya PNSB Construction Sdn Bhd (PCSB) memeterai perjanjian konsortium bersama NPO Builders Sdn Bhd (NPO) bagi membangunkan 1,202 unit Rumah Idaman di U6, Bandar Bukit Raja.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata projek berkenaan menawarkan dua pilihan kediaman mampu milik pada harga RM250,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi, serta RM295,000 seunit bagi unit berkeluasan 1,080 kaki persegi.

Image from: PCSB, NPO meterai perjanjian bina 1,202 unit Rumah Idaman di Bandar Bukit Raja
Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Konsortium Bagi Pembangunan Rumah Idaman di Menara Naza TTDI Shah Alam pada 11 Jun 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air selain kemudahan seperti penghawa dingin di setiap bilik, pemanas air, kabinet televisyen, almari pakaian serta kabinet dapur separa siap,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, beliau mewakili PCSB menyempurnakan majlis menandatangani perjanjian konsortium bersama NPO yang diwakili Pengarah Titijaya Land Berhad, Datuk Lim Poh Yit di Menara TTDI, tengah hari tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Raja Ahmad berkata PNSB telah menyiapkan lebih 7,702, unit Rumah Idaman di seluruh Selangor.

“Ketika ini lebih 10,690 unit sedang dibina, manakala lebih 23,871 unit lagi berada di peringkat kelulusan kebenaran merancang (KM),” katanya.

Beliau berkata antara projek yang telah siap termasuk 1,260 unit di Bukit Jelutong serta kira-kira 4,000 unit di Kwasa Damansara. Selain itu, projek di Sabak Bernam, Cyberjaya dan Kajang turut merekodkan pembinaan ratusan hingga ribuan unit yang telah siap dibangunkan.

Sementara itu, Lim berkata pembangunan Rumah Idaman Bandar Bukit Raja dijadual bermula pada 2027, dengan fasa pertama siap pada 2030 melibatkan keseluruhan 1,202 unit kediaman.

Image from: PCSB, NPO meterai perjanjian bina 1,202 unit Rumah Idaman di Bandar Bukit Raja
Pengarah Titijaya Land Berhad, Datuk Lim Poh Yit bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Konsortium Bagi Pembangunan Rumah Idaman di Menara Naza TTDI Shah Alam pada 11 Jun 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Daripada jumlah itu, sebanyak 240 unit berkeluasan 1,000 kaki persegi manakala 962 unit lagi berkeluasan 1,080 kaki persegi,” katanya.

Beliau berkata pemilihan Bandar Bukit Raja dibuat berdasarkan lokasi strategik kawasan itu yang mempunyai akses terus ke Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) serta berhampiran kawasan penempatan dan pusat perkhidmatan penjawat awam di Shah Alam.

Image from: PCSB, NPO meterai perjanjian bina 1,202 unit Rumah Idaman di Bandar Bukit Raja
Para tetamu bergambar bersama selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Konsortium Bagi Pembangunan Rumah Idaman di antara Permodalan Negeri Selangor Berhad Bersama Titijaya Land Berhad di Menara Naza TTDI Shah Alam pada 11 Jun 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR