PDRM belum terima sebarang laporan penipuan pelaburan libatkan XFOX, siasatan dikendalikan sepenuhnya oleh BNM

2 Aug 2024 • 12:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PDRM belum terima sebarang laporan penipuan pelaburan libatkan XFOX, siasatan dikendalikan sepenuhnya oleh BNM

azan

02/08/2024 - 12:33

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang laporan mengenai penipuan pelaburan membabitkan XFOX Market Sdn Bhd yang kini berdepan siasatan Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan terhadap syarikat itu sedang dijalankan sepenuhnya oleh bank pusat itu.

"Hasil semakan sejak syarikat XFOX Market Sdn Bhd ditubuhkan pada 2021 sehingga terkini mendapati tiada mangsa membuat laporan polis berkaitan penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan syarikat itu.

"Syarikat kini dalam siasatan oleh BNM berkaitan kesalahan pengambilan deposit secara haram mengikut Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan (APK) 2013," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, BNM menyita barangan mewah bernilai lebih RM30 juta dan membekukan 92 akaun milik XFOX Market kerana disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan.

image is not available

BNM menerusi kenyataan memaklumkan, rampasan dan sitaan dibuat hasil operasi bersepadu yang dijalankan di 12 premis sekitar Lembah Klang pada Selasa lalu.

"Tindakan penguatkuasaan bersama diambil terhadap XFOX Market Sdn Bhd dan beberapa entiti lain kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan," katanya.

Serbuan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN); CyberSecurity Malaysia (CSM) serta PDRM menerusi Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC). - DagangNews.com