KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan anak kepada wanita tempatan berusia 63 tahun yang ditahan pihak berkuasa Nigeria selepas dipercayai cuba menyeludup 31 kilogram dadah jenis Canadian Loud ke negara itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) berhubung penahanan wanita terbabit.
Menurutnya, JSJN juga telah memulakan siasatan bagi mengesan anak suspek.
"JSJN akan bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa berkaitan di negara ini bagi melengkapkan siasatan, termasuk dengan pihak berkuasa Thailand," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan penahanan wanita terbabit pada 17 Mei lalu oleh NDLEA di Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed, Lagos.
Difahamkan, wanita terbabit yang memiliki status warga Malaysia melalui proses naturalisasi itu tiba di Nigeria dengan menaiki penerbangan Emirates dari Thailand melalui Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai dalam perjalanan dari Malaysia ke Thailand sebelum ke Nigeria dengan membawa dua bagasi besar yang mengandungi bahan terlarang tersebut.
Ketika disoal siasat, beliau mendakwa perjalanan itu ditaja oleh anak perempuannya dan telah berada di Thailand selama kira-kira dua minggu sebelum menerima bungkusan berkenaan untuk dihantar ke Nigeria.






