51 ditahan dalam parti dadah, pesta gay sudah dituduh - JSJN

2 Jun 2026 • 2:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 51 ditahan dalam parti dadah, pesta gay sudah dituduh - JSJN
Laporan Sinar Harian mengenai kematian seorang lelaki di sebuah bilik hotel di ibu negara yang terlibat parti dadah. Gambar kanan: Hussein

KUALA LUMPUR - Seramai 51 individu yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam parti dadah dan pesta 'gay' di sebuah hotel mewah di ibu negara baru-baru ini telah didakwa atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah itu, seramai 17 individu telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, seorang individu juga telah didakwa mengikut Seksyen 39A(1) akta sama, manakala selebihnya iaitu 33 individu telah dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan turut mengenal pasti seorang lelaki warga China dipercayai terlibat sebagai penganjur acara berkenaan yang telah dituduh di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil siasatan mendapati pesta itu dipromosikan menerusi platform Instagram menggunakan akaun persendirian,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Hussein berkata, siasatan awal mendapati dadah yang dirampas dipercayai digunakan untuk kegunaan sendiri oleh peserta yang menghadiri pesta berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan punca bekalan.

Tambahnya, pihak polis masih menunggu laporan hospital berhubung punca kematian seorang lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri ketika pesta terbabit sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Setakat ini, pihak hospital masih belum mengeluarkan keputusan berhubung punca kematian mangsa dan memerlukan sedikit masa lagi untuk melengkapkan proses berkenaan," katanya.

Media sebelum itu melaporkan JSJN Bukit Aman, JSJN Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields melancarkan empat siri serbuan kegiatan parti dadah dan pesta gay di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 24 Mei lalu.

Operasi itu berjaya menahan 51 individu terdiri 23 lelaki tempatan dan 28 lelaki warga asing berusia 21 hingga 52 tahun.

Polis telah merampas dadah dianggarkan bernilai RM103,070 iaitu cecair MDMA seberat kira-kira 1.15 kilogram (kg), serbuk MDMA (284 gram), pil ektasi (8.56 gram), serbuk ekstasi (8.7 gram) dan ketamin (11.61 gram).

Sebelum serbuan itu, seorang lelaki disyaki terlibat dalam parti dadah tersebut telah diusung di lobi hotel dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Lelaki terbabit telah dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.