
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dalam insiden serangan terhadap seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Desa Aman Puri, Kepong, semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak bertanggungjawab
Katanya, kejadian melibatkan anggota polis yang diserang warga asing ketika menjalankan tugas adalah sesuatu yang amat dikesali dan tidak boleh diterima sama sekali.
“Saya amat kesal dan sedih dengan kejadian ini. Perbuatan ganas seperti ini sama sekali tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila menyasarkan anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan amanah menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius kejadian itu dan akan memastikan polis menjalankan siasatan secara menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau turut mengingatkan orang ramai, termasuk warga asing menetap di negara ini supaya sentiasa menghormati undang-undang Malaysia dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Sebarang rasa tidak puas hati tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak ganas atau menghalang tugas penguatkuasaan,” katanya.
Beliau juga menegaskan, keselamatan orang awam dan anggota penguat kuasa kekal menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
Katanya, undang-undang perlu dihormati dan tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa mengira kewarganegaraan atau latar belakang individu terbabit.
Beliau turut mendoakan anggota polis terbabit segera sembuh, selain merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM yang terus menjalankan tugas dengan penuh keberanian dan dedikasi demi keselamatan negara.
Semalam media melaporkan, seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 4 petang berhubung kejadian seorang lelaki berada dalam keadaan tidak stabil dan bertindak mengamuk.
Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis bersama-sama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) digegaskan ke lokasi untuk membantu mengawal keadaan.
“Ketika pintu rumah itu dibuka, suspek telah bertindak menyerang anggota polis berkenaan dengan dua parang menyebabkan seorang daripada anggota polis lelaki Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang berusia 26 tahun dan berpangkat Lans Koperal putus pergelangan tangan kanan, selain turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya. – UTUSAN
The post PDRM diarah laksana siasatan menyeluruh insiden anggota diserang appeared first on Utusan Malaysia.






