
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras insiden serangan oleh seorang warga asing terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Kepong semalam.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, beliau turut mendoakan agar anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu segera diberikan kesembuhan.
Menurut Anwar, sebarang bentuk jenayah dan keganasan, khususnya terhadap anggota penguat kuasa yang menjalankan amanah melindungi keselamatan rakyat, sama sekali tidak boleh diterima.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah tanpa mengira latar belakang atau kewarganegaraan pelakunya.
“Tindakan tegas mesti diambil terhadap sebarang perbuatan jenayah tanpa mengira siapa pelakunya demi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menjamin keselamatan anggota penguatkuasa yang bertugas,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang.
Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu berlaku di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pada sidang akhbar semalam memaklumkan, anggota berusia 26 tahun itu sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menyelamatkan pergelangan tangannya.
Jelas beliau, mangsa yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dibawa ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke HKL malam tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Tindakan tegas kepada penjenayah tanpa mengira siapa pelakunya – Anwar appeared first on Kosmo Online.






