PDRM hantar pasukan ke Pakistan siasat penahanan rakyat Malaysia disyaki scammer

19 Aug 2026 • 11:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PDRM hantar pasukan ke Pakistan siasat penahanan rakyat Malaysia disyaki scammer
Mohd Khalid bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Aset All Terrain Tactical Assault E-Bike (ATEB) JEBATT F29 kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghantar pasukan khas ke Islamabad, Pakistan bagi menyiasat laporan berhubung penahanan beberapa rakyat Malaysia disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, setakat ini, beliau belum dapat mengesahkan jumlah sebenar rakyat Malaysia terlibat memandangkan siasatan masih pada peringkat awal.

"Menteri Dalam Negeri ada maklum kepada saya semalam, dan untuk ke tempat tertentu ini memerlukan tindakan yang bersepadu, bukan sahaja antara kita tetapi juga kerajaan kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Aset All Terrain Tactical Assault E-bike (ATEB) di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Mohd Khalid berkata, PDRM kini giat mengesan rangkaian pihak terlibat dalam kegiatan itu dengan kerjasama penuh pihak berkuasa Pakistan.

Semalam, media antarabangsa melaporkan pihak berkuasa Pakistan menahan 258 warga asing dalam serbuan ke atas pusat panggilan penipuan di kawasan perumahan Gulberg Green, pinggir Islamabad.

Tangkapan itu melibatkan 40 rakyat China dan 170 Vietnam selain warganegara Malaysia dan negara Asia lain.

Dalam pada itu, Mohd Khalid mendedahkan trend semasa menunjukkan kegiatan penipuan dalam talian kini banyak melibatkan warga asing terutama dari China.

Beliau berkata, kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM menahan 182 warga asing yang cuba menjadikan Malaysia sebagai hab kegiatan penipuan dalam talian pada bulan lepas juga menunjukkan keseriusan kes itu.

Selain itu, Mohd Khalid berkata, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerima lebih 500 panggilan setiap hari dengan setiap aduan akan disusuli laporan polis bagi membolehkan JSJK mengambil tindakan segera. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved