PDRM mohon radar pengawasan laut Kelantan dipercepat

20 Oct 2026 • 2:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PDRM mohon radar pengawasan laut Kelantan dipercepat
Mohd Yusoff (kanan) menyampaikan surat penghargaan kepada anggota yang cemerlang dalam tugas.

KOTA BHARU – Polis Kelantan berharap pemasangan sistem radar pengawasan laut dipercepatkan bagi meningkatkan keberkesanan operasi membanteras penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, keluasan kawasan perairan sempadan negara menyukarkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan, terutama tanpa sokongan teknologi pengawasan yang lebih canggih.

“Kalau sekarang ini kita hanya menggunakan radar bot, ia terhad jika dibandingkan dengan kawasan laut yang luas, terutama pada waktu malam.

“Sebab itu kita perlukan radar yang canggih supaya dapat mengesan secara terperinci termasuk jenis bot dan kelajuannya sebelum tindakan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini pada Selasa.

Sebelum ini, pembinaan sistem radar pengawasan Remote Sensored Site (RSS) di bawah Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di Pulau Tengkorak, Tumpat dicadangkan sebagai benteng bagi mematahkan aktiviti penyeludupan termasuk rokok dan PATI di sempadan Malaysia–Thailand.

Mohd Yusoff berkata, penggunaan radar juga dapat membantu pihak berkuasa mengesan pergerakan bot dengan lebih tepat tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada rondaan secara rawak yang menggunakan masa dan sumber operasi.

Katanya, permohonan pemasangan sistem radar berkenaan sudah dikemukakan kepada pihak kementerian dengan Tumpat dicadangkan sebagai lokasi pemasangan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis Kelantan memperkemas pelan strategi membanteras dadah yang dilaksanakan menerusi projek rintis selama 100 hari bermula 15 Julai lalu.

Menurutnya, sebanyak 2,481 penagih ditahan oleh ketua balai dan unit kereta peronda sepanjang tempoh tiga bulan pelaksanaan strategi berkenaan.

“Semalam kami adakan mesyuarat bersama semua ketua balai bagi memperkemas pelan strategi dalam menangani isu dadah.

“Selepas ini, ketua polis daerah akan menentukan sasaran tangkapan penagih bagi setiap balai berdasarkan jumlah penduduk di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu mengambil kira perbezaan kepadatan penduduk antara kawasan termasuk balai yang mempunyai kawasan tanggungjawab dengan hanya kira-kira 4,000 penduduk.

Katanya, tiada tindakan diambil terhadap ketua balai yang gagal memenuhi sasaran tangkapan sepanjang tempoh percubaan, namun penilaian dan tindakan susulan akan dibuat selepas tempoh 100 hari sekiranya masih terdapat kelemahan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved