
KOTA BHARU: Polis Kelantan sudah mengenal pasti sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Tak Bai, Thailand yang bertindak agresif membawa masuk kumpulan itu ke negeri ini menerusi laluan laut.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat berhubung kumpulan berkenaan sudah disalurkan pihak berkuasa Thailand untuk tindakan lanjut.
“Trend sekarang ini pati dibawa masuk melalui Tak Bai (Thailand) sebagai lokasi transit. Kemudian, sindiket akan membawa masuk kumpulan itu melalui jalan laut sebelum ke negeri ini.
“Mereka sangat agresif,” katanya pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya kini terus memantau kegiatan kumpulan terbabit termasuk pergerakan mereka yang menggunakan laluan laut.
Katanya, perkembangan itu turut menyaksikan perubahan modus operandi penyeludupan PATI yang sebelum ini banyak menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.-UTUSAN
The post Sindiket agresif seludup PATI di Tak Bai, Polis Kelantan salur maklumat kepada Thailand appeared first on Utusan Malaysia.






