PDRM perkukuh kawalan sempadan Thailand susulan siri letupan, serangan

24 Aug 2026 • 6:00 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: PDRM perkukuh kawalan sempadan Thailand susulan siri letupan, serangan

PDRM meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan siri letupan di Yala, Pattani dan Narathiwat, serta menasihati orang ramai menangguhkan perjalanan tidak mustahak.

KUALA LUMPUR: Polis meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan siri letupan dan serangan di Yala, Pattani dan Narathiwat, Selatan Thailand, dengan kawalan di kawasan berkenaan kekal terkawal.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata langkah itu, termasuk penempatan anggota Briged Tenggara dan Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) serta mempergiat rondaan di pagar sempadan, Sungai Golok dan laluan yang berpotensi digunakan penceroboh.

“JKDNKA memberi jaminan kawalan sempadan negara kekal berada pada tahap terkawal,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata PDRM turut memperkukuh pendekatan pencegahan, pengesanan awal dan tindak balas pantas di samping meningkatkan risikan serta perkongsian maklumat dengan agensi keselamatan Thailand.

Mohd Yusri berkata setakat ini tiada laporan rakyat Malaysia terjejas dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan keselamatan rakyat Malaysia di kawasan terjejas sentiasa diberi perhatian.

Sehubungan itu, Mohd Yusri menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap, berada atau merancang perjalanan ke wilayah selatan Thailand supaya menangguhkan perjalanan yang tidak mustahak dan sentiasa berwaspada.

“Mereka juga perlu mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa Thailand, termasuk perintah berkurung sekiranya dikuatkuasakan, selain mendaftar dan mengemas kini maklumat melalui portal e-Konsular bagi memudahkan urusan mendapatkan bantuan konsular ketika kecemasan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Narathiwat dikenakan perintah berkurung dari 10.15 malam Sabtu lepas hingga 5 pagi semalam susulan lebih 50 insiden, termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar, yang dilaporkan berlaku di tiga wilayah berkenaan.

Letupan kuat dari arah Narathiwat turut menggegarkan kediaman dan menimbulkan kebimbangan penduduk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, termasuk Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang, Rantau Panjang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved