PDRM siap sedia PRN Johor, Negeri Sembilan - KPN

LocalPolitics
15 Jun 2026 • 2:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PDRM siap sedia PRN Johor, Negeri Sembilan - KPN
Mohd Khalid berucap ketika Majlis Pelancaran Perangi Scam : Dua Pasukan, Satu Matlamat pada Isnin. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya akan memastikan proses PRN berjalan dengan baik dan lancar.

"Di Johor, saya difahamkan memerlukan bantuan tenaga kerja daripada PDRM seramai kira-kira 4,000 hingga 5,000 orang.

"Selain itu, Johor merupakan negeri yang besar dengan sebanyak 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Jadi, kita perlu menjaga semua tempat mengundi dan saluran yang telah ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat di sini pada Isnin.

Beliau berkata, selain itu, Negeri Sembilan juga akan mengadakan PRN.

Tambah Mohd Khalid, pihaknya memerlukan tenaga kerja serta pegawai polis dari seluruh negara untuk membantu dan ia juga bergantung kepada keperluan yang ditentukan oleh Ketua Polis Negeri berkenaan.

"Polis akan membantu sebaik mungkin supaya proses ini berjalan dengan baik dan lancar," ujarnya.

Pada 12 Jun lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun ini, manakala hari mengundi awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.

Bagi PRN Negeri Sembilan, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai, manakala hari mengundi awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos.

Selain itu, SPR melantik seramai 56 Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang dibantu oleh 187 Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16.

Bagi menjalankan proses PRU Dewan Negeri Negeri Sembilan Ke-16 pula, SPR melantik lapan Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang dibantu oleh 95 Penolong Pegawai Pengurus.

PRU Dewan Negeri Johor Ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta, manakala PRU Dewan Negeri Negeri Sembilan Ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM80.6 juta.