89 etnik Rohingya ditahan kes jenayah sejak 2024 - KPN

LocalPolitics
15 Jun 2026 • 2:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 89 etnik Rohingya ditahan kes jenayah sejak 2024 - KPN
Mohd Khalid (dua dari kiri) ketika sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Seramai 89 individu etnik Rohingya direkodkan terbabit dalam kes jenayah di negara ini sejak tahun 2024.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, jumlah itu hanya mewakili 0.02 peratus daripada keseluruhan kes jenayah yang direkodkan bagi tempoh berkenaan.

Menurutnya, bagi tempoh tersebut, kes jenayah yang membabitkan etnik Rohingya hanya melibatkan sebilangan kecil individu, iaitu seramai 89 orang.

"Pihak berkuasa sentiasa mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati terbabit dalam kesalahan, bukan sahaja Rohingya tetapi juga semua warga asing yang berada di negara ini.

"Semua warga asing termasuk pelarian yang berada di negara ini tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan data pelarian turut direkodkan bagi tujuan pemantauan serta sebarang tindakan lanjut," katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat di sini pada Isnin.

Mengulas mengenai kenyataan Polis Kelantan bahawa terdapat dalam kalangan etnik Rohingya yang berperanan sebagai tekong darat untuk membawa pendatang asing tanpa izin (PATI), beliau berkata, tindakan akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terbabit dalam kegiatan itu.

Katanya, polis meneruskan rondaan di perairan negara bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi membendung kemasukan PATI termasuk pembabitan tekong darat daripada komuniti etnik tersebut.

"Perkara itu memang dilaksanakan secara berterusan dan jika ada maklumat yang kita peroleh, kita akan mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Selain itu, Mohd Khalid berkata, Malaysia mempunyai kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) dengan beberapa negara bagi membolehkan pelarian ditempatkan sementara di negara ini sebelum dihantar ke negara ketiga.

Menurut beliau, etnik Rohingya datang ke sini untuk transit sementara dan selepas itu akan dihantar ke negara ketiga yang memerlukan khidmat mereka sama ada dalam bidang profesional atau tenaga kerja.

"Pada masa lalu, kadang-kala dalam tempoh setahun, kita menghantar kira-kira 7,000 hingga 8,000 orang ke negara ketiga.

"Akhir-akhir ini, disebabkan beberapa masalah tertentu, kita berdepan kesukaran dan pergerakan mereka ke negara ketiga itu nampaknya terhenti.

"Jadi, ini menimbulkan beberapa isu dan kita sedia maklum bahawa negara seperti Myanmar berada dalam keadaan yang sukar. Perbincangan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa supaya perkara itu dapat diatasi," ujarnya.

Jelasnya, isu pelarian Rohingya perlu dilihat secara menyeluruh termasuk dari sudut kemanusiaan selain kepentingan menjaga keselamatan negara.

"Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merekodkan kira-kira 215,000 pelarian etnik Rohingya yang berdaftar.

"Jika mereka melakukan kesalahan, tindakan akan diambil seperti mana terhadap orang lain yang datang ke negara kita," katanya.

Mohd Khalid turut mengingatkan masyarakat agar memahami kedudukan sebenar dan mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam berhubung isu membabitkan etnik tersebut.