PDRM Siasat Video Individu Turunkan Jalur Gemilang, Diganti Bendera Sabah Dan Sarawak

LocalPolitics
24 Sep 2024 • 9:49 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis Diraja Malaysia (PDRM) siasat satu video tular yang memaparkan beberapa individu turunkan bendera Jalur Gemilang dan menggantikannya dengan bendera Sabah dan Sarawak.

Memetik laporan Kosmo!, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap penularan video mengenai sabotaj Jalur Gemilang.

PDRM siasat video individu turunkan Jalur Gemilang

image is not available

Menurutnya lagi, hasil siasatan polis mendapati kejadian itu dikesan berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September yang lalu.

“Kita mendapati sekumpulan individu menurunkan bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbolik menamatkan penjajahan Malaysia terhadap dua negeri berkenaan dan menjadikannya sebagai republik.

“Setakat ini, polis menerima sebanyak 35 laporan polis mengenai penularan video berkenaan melibatkan 34 laporan polis dibuat di Sabah dan satu di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.

image is not available

Beliau menjelaskan, siasatan lanjut polis berkenaan isu tersebut mendapati video berkenaan ditularkan oleh seorang pemilik akaun media sosial warga tempatan yang beralamat di Sabah.

Katanya, semakan lanjut polis mendapati individu berkenaan memiliki dua rekod jenayah lampau kesalahan di bawah Seksyen 500 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta sedang dibicarakan di Mahkamah Kota Kinabalu.

image is not available

“Suspek bagaimanapun bebas dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 di mahkamah sementara sedang menunggu sebutan semula kes pada November depan.

“Pada masa yang sama, kita juga sedang menyiasat hubungan antara suspek dengan individu yang dirakam melakukan perbuatan berkenaan (menurunkan bendera),” ujarnya.

Sebelum ini, tular satu video di akaun DemiRakyat Channel yang memaparkan sekumpulan individu sedang menurunkan bendera Malaysia di hadapan bangunan Parlimen Victoria di Melbourne, Australia.

image is not available

Individu-individu berkenaan kemudian menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang sebelum berkata tindakan itu merupakan simbolik pembebasan kedua-dua negeri itu dari penjajahan Malaysia.

Dalam pada itu, salah seorang daripada individu itu turut berkata mereka berasa sedih terhadap penjajahan Malaysia kepada Sabah dan Sarawak.

Kumpulan individu dalam video itu juga menyanyikan lagu Sabah Tanah Airku namun liriknya diubah dari negeri kepada negara.

Sumber: Kosmo (Tuan Nurhidayah Tuan Ab.Ghani), Facebook DemiRakyat Channel