Pearly kian pulih, dijangka kembali berlatih minggu depan

23 Jun 2023 • 2:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pearly terpaksa menarik diri pada pusingan pembukaan Terbuka Singapura 7 Jun lalu kerana mengalami kecederaan. - Foto Badminton Photo

PEMAIN beregu wanita utama negara, Pearly Tan yang cedera di siku ketika menyertai Terbuka Singapura awal bulan ini dijangka kembali menjalani latihan minggu depan.

Jurulatih beregu wanita, Hoon Thien How berkata kecederaan dialami atlet berusia 23 tahun itu semakin pulih dan mampu untuk menyambung latihan bersama gandingannya M Thinaah menjelang Terbuka Korea 2023 Julai depan.

“Saya ada hubungi dia baru-baru ini dan kedengaran okay, selepas cedera hari itu. Doktor kata dalam sebulan dia akan sembuh.

“Tapi untuk pulih sepenuhnya belum lagi, mungkin 70-80 peratus, ada gerakan-gerakan tertentu dia tak boleh buat,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pada 7 Jun, Pearly-Thinaah menarik diri pada pusingan pembukaan Terbuka Singapura semasa menentang pasangan Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di set ketiga, disebabkan kecederaan Pearly ketika pasangan Jepun itu mendahului 16-9.

Pearly-Thinaah tewas set pertama 13-21 namun pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu kembali untuk menang set kedua, 21-17.

Kecederaan tersebut turut menyebabkan juara Terbuka Perancis 2022 itu terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka Indonesia 2023, pada 13 Jun lepas.

Dalam pada itu, Thien How berkata, beliau akan mengatur latihan yang bersesuaian dengan kondisi Pearly untuk menjalani latihan terbaiknya pada Isnin ini.

“Untuk keadaan Pearly yang belum pulih sepenuhnya, saya akan aturkan latihan apa yang boleh,” katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved