
PETALING JAYA: Peminat boleh mengkritik apa sahaja tentang kegagalan beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, kelmarin.
Bercakap atau menjadi ‘keyboard warrior’ memang mudah, anda boleh melemparkan apa sahaja pandangan, tetapi, pada hakikatnya Pearly cukup bergelut dengan tahap kecergasan sebaik kembali ke gelanggang kira-kira tiga bulan lalu.
Pearly sendiri mengakui masih yang banyak yang perlu diperbaiki dari segi corak permainannya dan dia tidak akan sesekali berputus asa untuk mendapatkan kembali prestasi sebenar.
“Setakat ini, memang ada kemajuan, tetapi, keupayaan individu terutamanya daripada diri saya sendiri, masih banyak kerja yang perlu dilakukan.
“Saya tidak akan berputus asa dan kami akan terus bekerja keras dalam sesi latihan selepas ini,” katanya kepada wakil BWF selepas kekalahan di tangan beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari di pusingan ketiga, kelmarin.
Pencapaian terbaik beregu No. 5 dunia itu adalah memenangi pingat perak pada edisi lalu di Paris, Perancis dan persembahan tersebut jauh daripada apa yang dipamerkan Pearly-Thinaah di New Delhi.
Thinaah pula berkata, kesilapan dia dan Pearly adalah gagal mengikut perancangan asal yang telah diatur dan dalam masa sama, Febriana-Meilysa beraksi cukup baik untuk mematah strategi mereka.
“Saya rasa kami kerap terikut-ikut dengan rentak permainan lawan terutama di penghujung perlawanan.
“Kami tidak berpegang kepada pelan asal kami dan pihak lawan juga berjaya mematahkan strategi kami, jadi, saya rasa itu adalah sesuatu yang sepatutnya kami ambil perhatian dan tukar lebih awal,” ujarnya.-UTUSAN
The post Pearly-Thinaah perlu kerja keras dapat kembali prestasi sebenar appeared first on Utusan Malaysia.



