
JOHOR BAHRU - Polis menahan tujuh individu tempatan, termasuk dua wanita, bagi membantu siasatan kes pecah masuk sebuah premis pajak gadai Ar-Rahnu di Kota Tinggi yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM28.4 juta.
Lebih mengejutkan, kejadian itu dipercayai dirancang oleh bekas pengurus premis berkenaan bagi menghapuskan bukti berkaitan kes pecah amanah yang didakwa dilakukannya sebelum ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, penahanan suspek dilakukan susulan laporan kehilangan barang kemas dan wang tunai dari premis itu yang dibuat oleh pengurus semasa pada jam 11.42 pagi, 6 November lalu.
Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 29 hingga 48 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru pada 7 dan 8 November lalu.
Operasi berkenaan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor serta Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki premis melalui pintu hadapan sebelum melarikan diri menerusi pintu belakang dengan membawa barang kemas dan wang tunai.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan dari sebuah rumah, termasuk 2,891 unit barang kemas pelbagai jenis, wang tunai RM27,371, resit urus niaga pajak gadai, satu set kunci, beg silang serta telefon bimbit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.
Ab Rahaman berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing terhadap kesemua tujuh individu terbabit didapati negatif.
Menurutnya, siasatan lanjut mendedahkan kejadian pecah masuk itu didalangi bekas pengurus premis berkenaan, seorang wanita berusia 44 tahun, dengan bantuan bekas rakan sekerjanya.
Kedua-duanya dipercayai merancang perbuatan itu bagi memusnahkan bukti kegiatan pecah amanah membabitkan urusan mencagarkan barang kemas tiruan.
Kegiatan penipuan tersebut dipercayai telah berlarutan sejak empat hingga lima tahun lalu.
“Kami percaya sebahagian besar barang kemas yang dicuri dan kemudiannya dirampas semula bukan emas tulen, sebaliknya barang kemas tiruan yang dicagarkan suspek menggunakan identiti pelanggan palsu bagi mendapatkan wang tunai,” katanya.
Beliau berkata, suami kepada bekas pengurus berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Empat daripada suspek direman sehingga 14 November, manakala tiga lagi ditahan reman sehingga 15 November ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dengan niat melakukan kesalahan dan Seksyen 408 Kanun Keseksaan berhubung pecah amanah jenayah oleh kerani atau pekerja.
Ab Rahaman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan siasatan, selain meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi pihak polis Johor. - Getaran, 10 November 2026


