JOHOR BAHRU: Kegiatan pecah masuk premis pajak gadai di Kota Tinggi yang melibatkan kerugian RM28.4 juta, Jumaat lalu membongkar kegiatan pecah amanah yang disyaki didalangi bekas pengurus premis tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, suspek wanita berusia 44 tahun dipercayai telah melakukan kegiatan tersebut sejak lima tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 11.42 pagi oleh pengurus premis pajak gadai tersebut yang baharu bekerja kira-kira tiga bulan yang lalu.
“Kejadian jenayah berkenaan dipercayai didalangi bekas pengurus premis itu sendiri demi menutup perbuatan pecah amanah yang dilakukannya sebelum ini.
“Siasatan mendapati motif sebenar suspek bertindak sedemikian adalah bagi menghapuskan bukti pemalsuan barangan kemas yang dipajak menggunakan identiti palsu.
“Kebanyakan barang kemas yang dilarikan adalah barang kemas palsu yang dipajak oleh rakan suspek menggunakan identiti pemajak tidak wujud bagi mendapatkan wang syarikat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, hasil siasatan awal di lokasi kejadian, mendapati suspek yang terlibat dipercayai memecah masuk premis tersebut melalui pintu hadapan sebelum melarikan sejumlah barang kemas serta wang tunai menerusi pintu belakang.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman bersama JSJ Kontinjen Johor telah menangkap lima lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia lingkungan 29 hingga 48 tahun di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru bagi membantu siasatan, Sabtu dan Ahad lalu.
“Menerusi tangkapan itu, polis turut merampas 2,891 pelbagai jenis barang kemas, wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM27,371, dua keping resit pajak gadai, dua rangkai kunci, dua beg silang dan sebuah telefon bimbit.
“Hasil semakan rekod mendapati seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek didapati negatif dadah,” katanya lagi.
Sebagai rekod, katanya, pihaknya menerima satu laporan berkenaan pemalsuan barang kemas yang dipajak dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah, pada 6 Oktober lalu.
Tambahnya, barang kemas yang dirampas itu bukanlah emas tulen sebenar dan akan bekerjasama dengan syarikat terbabit bagi mengesahkan ketulenan barang kemas tersebut.
“Empat suspek dibenarkan reman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 November, manakala tiga lagi suspek direman tujuh hari bermula 9 hingga 15 November bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan denda, dan jika kesalahan melibatkan mencuri, tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan. – UTUSAN
The post Bekas pengurus dalang samun kedai pajak RM28.4 juta appeared first on Utusan Malaysia.





