Pecut laju elak polis, rupanya bawa dadah dalam kereta

27 Jun 2026 • 12:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pecut laju elak polis, rupanya bawa dadah dalam kereta
Tangkap layar rakaman video tular sebuah kereta Perodua Viva memecut laju selepas diarah berhenti oleh polis di ibu negara pada Jumaat. - Gambar kecil (Fadil Marsus)

KUALA LUMPUR – Tindakan pemandu kereta Perodua Viva memecut laju di Wangsa Maju di sini selepas diarahkan polis supaya berhenti membawa kepada penemuan dadah pada Jumaat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati kira-kira jam 5.30 petang, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, yang sedang menjalankan tugas mengesan sebuah Perodua Viva dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemandu bersama seorang penumpang dipercayai enggan memberhentikan kenderaan apabila diarahkan berbuat demikian oleh pihak polis.

"Kereta suspek telah dikejar sehingga ke Jalan Kuching.

"Setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta itu dipercayai memandu secara berbahaya dengan bergerak di antara lorong kiri dan kanan jalan sebelum hilang kawalan lalu merempuh tiga kereta lain yang sedang berhenti akibat kesesakan lalu lintas," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, kemalangan bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya ditahan di lokasi kejadian oleh anggota BSJN IPD Wangsa Maju.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan dadah disyaki heroin seberat 19.63 gram.

"Kedua-dua suspek berusia 40 dan 42 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Jelas Fadil, pihaknya mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum itu, insiden kereta suspek melarikan diri turut tular di media sosial.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved