Pegangan awam MyNews susut di bawah paras wajib selepas JAG Capital tambah saham

LocalBusiness & Finance
11 Dec 2025 • 10:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pegangan awam MyNews susut di bawah paras wajib selepas JAG Capital tambah saham
image is not available
haziq11/12/2025 - 10:02 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Dis – Paras pegangan saham awam MyNews Holdings Bhd jatuh di bawah keperluan minimum 25% susulan peningkatan pegangan oleh pemegang saham keduanya, JAG Capital Sdn Bhd minggu lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MyNews berkata paras pegangan saham awamnya kini berada pada 24.925% iaitu kekurangan 0.075% daripada syarat tersenarai. 

 

Kekurangan itu bersamaan 560,000 saham.

 

“Syarikat sedang meneliti pilihan untuk memulihkan pematuhan dan akan membuat pengumuman sewajarnya dalam masa terdekat,” kata MyNews.

 

JAG Capital, syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dan bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, meningkatkan pegangannya kepada 20.29% pada 5 Disember selepas membeli blok saham bernilai RM28.24 juta.

 

Pembelian itu melibatkan 24.81 juta saham pada harga 60 sen sesaham daripada keluarga pengasas MyNews, Dang Tai Luk, Dang Tai Wen dan Dang Tai Hock, yang menguasai syarikat secara tidak langsung melalui D&D Consolidated Sdn Bhd dengan pegangan 50.04%.

 

Selain itu, JAG turut membeli dua blok tambahan melibatkan 5.19 juta saham berharga RM3.12 juta (60 sen sesaham) dan 18.28 juta saham bernilai RM10.24 juta (56 sen sesaham).

 

MyNews, yang mengendalikan rangkaian kedai serbaneka MyNews, CU Mart, WHSmith dan Maru Coffee, kini berada di landasan untuk mencatat keuntungan tahun kedua berturut-turut selepas pulih daripada kerugian akibat pandemik.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir Julai 2025 (9MFY2025), keuntungan bersih melonjak lebih dua kali ganda kepada RM12.57 juta berbanding RM5.62 juta tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 9% kepada RM649.37 juta daripada RM595.75 juta. - DagangNews.com

Terkini standard