Pegawai AADK cedera diserang: Polis rekod keterangan 4 individu

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 6:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai pegawai AADK cedera dihiis suspek ketika operasi di Bangsar. Gambar kecil: Chang Hook

KUALA LUMPUR - Empat individu direkod keterangan bagi membantu siasatan kes pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang cedera diserang dalam operasi di premis cuci kereta di Jalan Kerinchi di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, individu berkenaan terdiri daripada tiga kakitangan AADK dan seorang pekerja premis cuci kereta.

Menurutnya, polis kini sedang giat mengesan suspek berusia 46 tahun terbabit.

"Semakan mendapati lelaki yang juga penganggur terbabit mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan lapan rekod jenayah dan empat dadah.

"Suspek bukan pekerja di kedai cuci kereta berkenaan," katanya pada Khamis.

Chang Hook berkata, dipercayai senjata jenis pisau rambo yang digunakan dalam kejadian itu dipercayai masih berada pada suspek.

Tambahnya, pegawai AADK berusia 48 tahun itu dijangka akan dibenarkan keluar hospital pada Khamis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324/186 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi.

Dalam kejadian pada Isnin, pegawai AADK terbabit cedera di tapak tangan dan ibu jari kanan oleh suspek terbabit.

Suspek pada mulanya sudah ditahan dan diarah melakukan ujian saringan air kencing, namun lelaki itu enggan sebelum bertindak agresif serta melarikan diri.