Pegawai Anti-Keganasan AS Letak Jawatan, Bantah Perang Libatkan Iran

WorldPolitics
18 Mar 2026 • 9:06 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

WASHINGTON – Seorang pegawai kanan dalam bidang antikeganasan Amerika Syarikat, Joseph Kent dilaporkan meletak jawatan sebagai tanda protes terhadap penglibatan negara itu bersama Israel dalam konflik dengan Iran.

Menurut laporan Agence France-Presse (AFP), Kent yang juga Pengarah National Counterterrorism Center (NCTC) menegaskan bahawa Tehran bukan ancaman segera kepada Amerika Syarikat.

Dalam surat peletakan jawatannya yang dihantar kepada Presiden Donald Trump, beliau menyatakan tidak mampu menyokong perang tersebut atas faktor prinsip.

“Iran tidak menimbulkan ancaman segera kepada negara kita. Jelas konflik ini tercetus hasil tekanan Israel serta pengaruh lobinya di Amerika,” katanya.

Kent, 45, menjadi pegawai kanan pertama dalam pentadbiran Trump yang bertindak meletak jawatan secara terbuka sebagai bantahan terhadap konflik berkenaan.

Bekas anggota elit Green Beret itu turut menegaskan perang tersebut tidak membawa manfaat kepada rakyat Amerika, sebaliknya hanya mengorbankan nyawa dan sumber negara.

Dakwaan Kempen Pengaruh & Naratif Mengelirukan

Menerusi surat yang turut dikongsikan di platform X, Kent mendakwa wujud kempen maklumat mengelirukan oleh pihak tertentu termasuk pegawai Israel dan media di Amerika.

Menurutnya, naratif bahawa Iran adalah ancaman segera tidak tepat dan menyerupai alasan yang pernah digunakan untuk melibatkan AS dalam Perang Iraq.

Sebelum ini, Kent pernah berkhidmat sebagai pegawai paramilitari di Central Intelligence Agency (CIA) serta mengetuai NCTC yang berpangkalan di Virginia di bawah seliaan Pengarah Perisikan Negara, Tulsi Gabbard.

Dalam masa sama, beliau turut berkongsi pengalaman peribadi apabila isterinya, Shannon yang juga anggota tentera AS, terkorban dalam serangan bom berani mati di Syria pada tahun 2019.

Kent menegaskan beliau tidak sanggup melihat generasi akan datang terus dihantar ke medan perang dalam konflik yang disifatkannya tidak wajar serta tidak memberi manfaat kepada rakyat Amerika. – The Malaysian Update

The post Pegawai Anti-Keganasan AS Letak Jawatan, Bantah Perang Libatkan Iran appeared first on The Malaysian Update.