KUALA LUMPUR – Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa terdapat empat kemasukan wang berjumlah RM800,000 ke akaun Bersatu daripada sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan empat tahun lepas.
Pegawai Operasi Maybank Cawangan Shah Alam, Chang Hui Chin, 50, berkata demikian ketika perbicaraan empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta yang dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, wanita itu berkata, KCJ Engineering Sdn. Bhd. membuat pembayaran menggunakan empat cek, masing-masing berjumlah RM200,000, kepada Bersatu pada 1 September 2022.
Semasa membacakan pernyataan saksi, beliau mengesahkan bahawa terdapat tandatangan pada cek berkenaan milik Zulhelmi Mairin @ Kunting dan Mohd. Zaid Yusoff.
Ketika disoal peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad, Hui Chin bersetuju bahawa penerima empat cek tersebut ialah Bersatu.
Saksi turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa keempat-empat transaksi itu telus.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat pindaan, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk menerima suapan wang berjumlah RM225.3 juta.
Wang itu didakwa diterima daripada seorang individu, iaitu Azman Yusoff, dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. serta Mamfor Sdn. Bhd., bagi sekutu parti itu.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta, antaranya daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur, di sini, antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Prosiding bersambung pada Khamis ini.




